GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Tawau terus mencatat kes harian Covid-19 tertinggi di Sabah selain merekodkan dua lagi kluster baharu berkaitan jangkitan di tempat kerja, semalam.

Dua kluster terbabit iaitu Kluster Bukit Quoin dan Kluster Jalan Damai menyumbang 10 kes baharu, menjadikan 95 kes keseluruhan direkodkan di Tawau termasuk yang dikesan menerusi kluster lain dan kes saringan bergejala.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kluster Quion di Mukim Balung mencatat tujuh kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes, semalam.

"Kes indeks adalah seorang pembantu pertanian di Stesen Penyelidikan Pertanian Bukit Quoin yang disahkan positif Covid-19 hasil saringan bergejala pada 1 lalu. Saringan tempat kerja dan kontak rapat setakat ini mengesan 11 kes termasuk tiga pekerja di stesen berkenaan.

"Kluster Jalan Damai Tawau di Mukim Sri Tanjung pula merekodkan tiga kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 14 kes. Kes indeks adalah seorang juruaudit di syarikat percukaian yang dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 11 April lalu.

"Jangkitan kemudian menular di sebuah premis agensi kerajaan Pusat di Tawau melalui adik kepada kes indeks yang disahkan positif pada 14 April. Saringan kontak rapat mendapati 12 lagi kes positif termasuk empat kes rakan sekerja di agensi terbabit," katanya dalam kenyataan media perkembangan semasa Covid-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Selain Tawau, Lahad Datu turut mencatat kes dua angka iaitu 25 kes, diikuti Sandakan sebanyak 13 kes, Kota Kinabalu (tujuh kes) dan Putatan (enam kes).

Secara keseluruhan Sabah mencatat sebanyak 163 kes baharu semalam dengan dua kematian, masing-masing di Kota Kinabalu dan Tawau, manakala seramai 90 pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, tujuh lagi kawasan di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan jangkitan kes Covid-19 yang tinggi di lokaliti terbabit bermula hari ini hingga 1 Mei depan.

Lokaliti terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu; Kampung Bikang, Kadumu dan Taman Khazanah Indah di Lahad Datu; serta Taman Hilltop, Taman Bukit Bintang dan Taman Berkley di Tawau.

Beliau berkata PKPD di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula yang sepatutnya tamat hari ini, dilanjutkan dua minggu lagi bermula esok hingga 2 Mei depan berikutan masih berlaku penularan wabak di lokaliti berkenaan.

Dalam pada itu, katanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Keningau ditamatkan mengikut jadual pada hari ini selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan baki kes aktif di daerah itu menunjukkan penurunan dan terkawal.

"Dua PKPD iaitu di Kampung Pagalungan Ansip, Keningau dan PKPD Kampung Kalindukan, Nabawan turut ditamatkan mengikut jadual pada 18 April selepas baki kes aktif menunjukkan penurunan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 8:44 AM