PELAJAR SMK Seri Mulia Kuala Lumpur, Cheras mengikuti pembelajaran dalam kelas, semalam mengikut SOP bagi mengekang penularan Covid-19. FOTO Owee Ah Chun
PELAJAR SMK Seri Mulia Kuala Lumpur, Cheras mengikuti pembelajaran dalam kelas, semalam mengikut SOP bagi mengekang penularan Covid-19. FOTO Owee Ah Chun
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sesi persekolahan secara bersemuka perlu diteruskan seperti biasa, namun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Setiawangsa Amiruddin Sahudi berkata, tidak adil jika semua sekolah ditutup kerana tumpuan dan kawalan seharusnya diberikan kepada sekolah yang terkesan dengan penularan Covid-19 sahaja.

"Setiap sekolah tertakluk kepada struktur Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), jadi apabila sekolah ada kes mereka perlu rujuk kepada PPD masing-masing sebelum menunggu arahan selanjutnya seperti penutupan sekolah dan sebagainya.

"Tidak relevan lagi tutup semua sekolah, ia akan mengganggu sistem pendidikan kita apatah lagi untuk murid dan pelajar yang bakal ambil peperiksaan akan lebih ketinggalan.

"Bagi kami, keperluan menutup sekolah hanya untuk yang ada kes Covid-19," katanya.

Katanya, seharusnya semua pihak perlu menjadikan norma baharu sebagai amalan harian.

"Kita tiada pilihan macam mana sekalipun kena hidup dalam Covid-19 dengan mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP ditetapkan.

"Ibu bapa misalnya perlu pantau kesihatan anak di rumah dan jika tidak sihat dan ada gejala jangan hantar ke sekolah bagi mengelak risiko lebih buruk," katanya.

Pendapat sama turut disuarakan YDP PIBG Sekolah Kebangsaan Jalan Empat Bandar Baru Bangi, Roslan Mohamed. Mereka akur sebarang keputusan Kementerian Pendidikan, namun penutupan sekolah bukan lagi jalan penyelesaian terbaik.

"Sebenarnya apabila tutup sekolah tahun lalu memang ramai murid ketinggalan dan terkesan teruk kerana mereka tidak boleh beri tumpuan belajar selain menghadapi pelbagai gangguan dan masalah lain seperti kekurangan peranti dan telefon pintar.

"Jadi kita tidak mahu ia berlaku lagi tahun ini. Kalau boleh kita mahu sekolah dibuka tetapi dengan SOP ketat," katanya.

Katanya, pihak sekolah sudah melakukan yang terbaik termasuk menyediakan SOP ketat dan sebagainya, namun ia lebih berkesan jika semua pihak terutama ibu bapa peka dan bertanggungjawab terhadap anak masing-masing pada luar sesi persekolahan.

"Kalau boleh jangan bawa anak ke tempat awam sesuka hati kerana kita tidak tahu Covid-19 ada di mana-mana dan risiko jangkitan boleh berlaku.

"Selain itu, jika berlaku apa-apa kepada ahli keluarga seperti demam atau gejala lain ambil lah langkah kuarantin sendiri dulu jangan hantar anak ke sekolah.

"Begitu juga jika ada ahli keluarga yang perlu menjalani swab test patut sudah maklum jangan hantar anak ke sekolah walaupun keputusan ujian belum keluar," katanya.

Amiruddin Sahudi
Amiruddin Sahudi

Sementara itu, Mazliya Azura Majid,45, berkata, dia mahu sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) dijalankan secara bersemuka bagi memastikan tiga anaknya terutama yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini lebih fokus dalam pelajaran.

"Saya berpendapat sekolah secara bersemuka lagi bagus kerana anak boleh berinteraksi terus dengan guru mereka

terutama apabila tidak faham tentang sesuatu pembelajaran.

"Apa yang saya lihat, jika belajar dalam talian di rumah anak saya misalnya yang bersekolah darjah empat itu walaupun dipantau tetap tidak fokus dan kurang berdisiplin hingga dia gagal menguasai sesuatu mata pelajaran," katanya.

Katanya, sektor lain termasuk pengangkutan juga perlu mengamalkan langkah pencegahan sama bagi mengelak sebarang risiko penularan.

"Setakat ini, kita ibu bapa berpuas hati dengan cara sekolah mengawal keadaan dengan SOP ketat.

"Cuma kita bimbang ketika balik dan pergi naik van dan bas sekolah ramai anak-anak tidak mematuhi SOP seperti

tidak menjaga penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka," katanya.

Kebelakangan ini, banyak kluster pendidikan direkodkan hingga menyebabkan beberapa sekolah di negara ini ditutup kembali walaupun baru memulakan sesi persekolahan bersemuka awal bulan ini.

Keadaan ini mewujudkan kebimbangan ramai hingga ada pihak mencadangkan penutupan semula semua sekolah bagi mengawal dan mengelak risiko penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 3:12 PM