Noorazura Abdul Rahman


Pendang: Sesi persekolahan bersemuka di negeri Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) diteruskan seperti yang dijadualkan sehingga cuti penggal bermula hujung minggu ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata penutupan sementara beberapa sekolah dalam tempoh ini dibuat mengikut saranan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdasarkan penilaian risiko jangkitan kes Covid-19 di sekolah terbabit.

Katanya, kes aktif Covid-19 membabitkan pelajar ketika ini adalah antara 200 ke 250 orang berbanding jumlah pelajar yang hadir ke sekolah iaitu seramai kira-kira 4.5 juta orang.

"Jumlah itu adalah jauh lebih rendah berbanding dengan keseluruhan pelajar, jadi kita perlu lihat dalam konteks kita bergerak ke fasa endemik ini akan berlaku.

"Tapi kita akan kawal dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak virus ini merebak. InsyaAllah sesi persekolahan akan berterusan hingga ke akhir penggal ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Akademi Sains Pendang di Jalan Jenun di sini, hari ini.

DATUK Dr Radzi Jidin (tengah) ketika melawat persekitaran akademi pada Majlis Perasmian Akademi Sains Pendang di Jalan Jenun. FOTO Luqman Hakim Zubir
DATUK Dr Radzi Jidin (tengah) ketika melawat persekitaran akademi pada Majlis Perasmian Akademi Sains Pendang di Jalan Jenun. FOTO Luqman Hakim Zubir

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim merangkap Ahli Parlimen Pendang.

Mengulas lanjut, Radzi berkata pihak sekolah akan terus mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa dengan PKD untuk memastikan keadaan penularan kes Covid-19 terkawal.

"Kalau ada cadangan penutupan dari KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), kita akur seperti dalam kes Sekolah Seri Puteri (SSP) Cyberjaya apabila ramai pelajar dan guru dikuarantin.

"Maka kapasiti sekolah itu sudah tidak ada dan dalam konteks ini ramai jadi kontak rapat. Oleh itu KKM minta sekolah ini ditutup," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai ciapan di Twiter bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai 21,316 pelajar yang berhenti sekolah sejak Mac 2020, Radzi berkata keadaan itu berkemungkinan berlaku kerana perasaan pelajar yang renggang dengan sistem persekolahan dalam tempoh pendemik Covid-19.

Radzi berkata, sesi persekolahan secara bersemuka sangat penting dalam usaha meminimumkan masalah murid dan pelajar tercicir dalam pelajaran.

"Berikutan itu, intervensi dapat dibuat lebih awal selepas dapat mengesan permasalahan dihadapi murid dan pelajar.

"Dalam konteks sekarang ini, bila sekolah ditutup untuk tempoh panjang, walau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan, namun perasaan murid itu renggang dengan sistem persekolahan.

"Sebab itu walau ramai kata sekolah jangan dibuka dulu, tetapi kita sudah bincang bahawa amat penting sekolah dibuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 3:08 PM