LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Penganggur yang disyaki memukul penghantar makanan dengan penukul besi di perkarangan sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, di sini, Selasa lalu direman selama tiga hari.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tempoh reman terhadap lelaki berusia 31 tahun itu bermula hari ini sehingga 24 April.

"Permohonan reman dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian," katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 4.10 petang itu, penghantar makanan yang juga lelaki berusia 40 tahun, menerima sembilan jahitan selepas kepalanya dipukul suspek menggunakan penukul besi.

Tindakan itu berikutan suspek mendakwa mangsa memarahi isterinya, berkaitan dengan penghantaran makanan.

Mangsa dikatakan menunggu lama bagi menyerahkan makanan yang dipesan isteri suspek serta menghubungi wanita berkenaan berkali-kali namun tidak dijawab.

Susulan laporan polis yang dibuat penghantar makanan itu, suspek kemudian ditahan di rumahnya pada 11.15 malam tadi dan polis turut merampas penukul besi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

  • Penghantar makanan terima 9 jahitan di kepala dipukul suami pelanggan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 2:41 PM