Juwan Riduan


SEORANG buruh binaan menerima enam jahitan di kepala selepas dipukul menggunakan tukul besi oleh bekas rakan sekerjanya di sebuah tapak pembinaan di Luyang, Kota Kinabalu, 1 April lalu.

Pergaduhan itu disedari oleh penyelia di tapak pembinaan berkenaan selepas menerima panggilan daripada pekerjanya.

Penyelia itu kemudian bergegas ke lokasi dan melihat pekerjanya berusia 47 tahun di hadapan pintu tandas dalam keadaan berlumuran darah.

Dia kemudian menghubungi Balai Polis Luyang, bagi memaklumkan mengenai kejadian itu, 1.39 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis tiba di lokasi kejadian dan bertindak menahan suspek.

“Siasatan mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham kerana sebelum kejadian mangsa dikatakan berbual dengan rakannya melalui telefon bimbit. Ketika itu, suspek berada di koridor asrama yang terletak berhadapan dengan koridor mangsa.

“Suspek tidak puas hati kerana mangsa bercakap dengan nada yang kuat. Selepas itu, mangsa menghentikan perbualannya dan bergerak ke tandas untuk mandi sebelum suspek memukul mangsa di kepala menggunakan tukul besi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu kemudian dileraikan oleh pekerja-pekerja yang turut berada di tempat kejadian dan bertindak melaporkan perkara itu kepada penyedia mereka.

“Akibat kejadian itu mangsa luka di kepala dan menerima enam jahitan.

“Suspek berusia 30 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditahan dan polis turut merampas senjata yang digunakan iaitu tukul besi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 12:21 PM