Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian. (Gambar kanan) Mangsa cedera dipukul penjenayah. FOTO ihsan polis
Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian. (Gambar kanan) Mangsa cedera dipukul penjenayah. FOTO ihsan polis
Aizat Sharif


PENGAWAL keselamatan berusia 72 tahun cedera di kepala dan tangan kiri selepas dipukul dua lelaki yang merompak stesen minyak tempat dia bertugas di Jalan Bakar Bata, Mukim Pumpong, Alor Setar hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kejadian berlaku pada 5.15 pagi apabila mangsa yang sedang tidur didatangi dua lelaki bertopi keledar yang mengumpil ruang hadapan pejabat stesen minyak.

“Suspek mengumpil pintu hadapan pejabat stesen minyak menggunakan kuku kambing sebelum memasuki ruang hadapan pejabat.

“Pengawal keselamatan itu kemudian menjerit ke arah suspek itu dan berlaku pergelutan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dipukul menggunakan objek keras dipercayai besi oleh suspek yang kemudian bertindak melarikan wang tunai dianggarkan sebanyak RM3,550 serta 30 karton rokok pelbagai jenama.

“Mangsa yang cedera di kepala dan tangan kiri kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah oleh orang ramai yang kebetulan melalui tempat kejadian.

“Mangsa mendapat 15 jahitan di kepala dan tiga jahitan di tangan kiri,”€ katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika melakukan samun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 4:20 PM