Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

LELAKI yang memukul penghantar makanan sebuah syarikat penghantaran terkenal dalam kejadian di Alma di Bukit Mertajam dua hari lalu direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes itu.

Pergaduhan antara mereka itu turut menjadi tular di media sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, lelaki berusia 33 tahun dan merupakan pelajar sebuah kolej swasta itu ditahan di sebuah hotel di Bukit Mertajam pada 7.22 malam semalam.

"Polis sudah mendapat perintah reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes terbabit, kami masih menjalankan siasatan lanjut termasuk punca suspek bertindak sedemikian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, polis juga akan merekodkan keterangan mangsa dan pemilik rumah inap desa yang disewa lelaki itu bagi membantu siasatan kes tersebut.

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan kes berkenaan menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan dan 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.

Khamis lalu, polis menjalankan siasatan kes itu selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa iaitu penghantar makanan berusia 34 tahun yang cedera dipukul dalam kejadian pada 11.05 pagi di sebuah inap desa disewa pelanggan terbabit.

Berita berkaitan

Penghantar makanan dimaki, dipukul pelanggan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 11:13 PM