Mangsa yang cedera di kepala menerima rawatan di Pusat Kesihatan Bandar Chiku, semalam. FOTO ihsan pembaca
Mangsa yang cedera di kepala menerima rawatan di Pusat Kesihatan Bandar Chiku, semalam. FOTO ihsan pembaca
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Remaja orang kurang upaya (OKU) menerima tujuh jahitan di kepala selepas dipukul dengan besi oleh seorang lelaki yang mengamuk dipercayai di bawah pengaruh dadah di Tanah Rancangan FELDA Chiku 2, di sini, malam semalam.

Kejadian 7 malam itu berlaku ketika mangsa, Wan Nazrul Azray Wan Ab Rahman, 17, berada di hadapan rumahnya sebelum jirannya datang dan mengamuk.

Lelaki berusia 33 tahun itu menyerang dan memukul kepala mangsa dengan menggunakan sebatang besi sebelum melarikan diri.

Mangsa yang parah dikejarkan ke Pusat Kesihatan Bandar Chiku untuk menerima rawatan dan menerima tujuh jahitan di kepala sebelum membuat laporan di Balai Polis Paloh.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

"Polis masih memburu suspek yang menghilangkan diri selepas kejadian itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 4:51 PM