BAHARUDIN (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas. FOTO Rosli Ilham
BAHARUDIN (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Dungun: Polis memberkas sepasang kekasih dan seorang rakan mereka serta merampas lima kilogram syabu dalam serbuan di jalan belakang sebuah pasar raya di Paka, pada 14 April lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia di antara 21 hingga 29 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dengan kerjasama pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun pada 10 malam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, ketika serbuan, ketiga-tiga suspek tidak sempat melarikan diri dan hasil pemeriksaan polis menemui dadah terbabit yang dibungkus dengan lima plastik.

"Dua suspek lelaki berasal dari Kemaman manakala teman wanita salah seorang daripada suspek lelaki itu berasal dari Johor.

"Salah seorang suspek lelaki itu mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala suspek wanita mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya pada sidang media di IPD Dungun, hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing dilakukan ke atas suspek mendapati semua mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurutnya, polis percaya bekalan dadah terbabit akan dijual kepada pengedar dadah untuk dipasarkan kepada penagih di sekitar daerah Dungun dan Kemaman.

"Bekalan dadah bernilai lebih RM150,000 itu mampu dibekalkan kepada kira-kira 25,000 penagih dan semua suspek direman sehingga 21 April ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 4:36 PM