ANTARA rampasan dadah dipercayai jenis syabu bernilai RM1.9 juta yang disimpan dalam sebuah bot di Teluk Sengat, Kota Tinggi. FOTO BERNAMA
ANTARA rampasan dadah dipercayai jenis syabu bernilai RM1.9 juta yang disimpan dalam sebuah bot di Teluk Sengat, Kota Tinggi. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh

SYABU seberat 47.6 kilogram bernilai RM1.9 juta dirampas pihak berkuasa ketika cuba diseludup ke Indonesia di Teluk Sengat, Kota Tinggi, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 29 tahun hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot.

Katanya, tangkapan ke atas kedua-dua suspek pada 11 pagi itu dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Tinggi.

"Selain dadah yang dibungkus dalam paket teh Cina, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi, motosikal Yamaha LC, bot fiber dan satu enjin bot Yamaha yang keseluruhannya bernilai RM73,000.

"Hasil siasatan mendapati dadah berkenaan diperoleh dari Kuala Lumpur dan mahu diseludup ke Indonesia. Modus operandi mereka adalah dengan mengubahsuai lantai bot untuk menyimpan dadah.

"Mereka (sindiket) dipercayai mahu menyeludup dadah ini sejak Mac lalu tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) niat mereka tergendala dan sekarang selepas dua bulan, mereka cuba untuk menyeludup semula," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Ayob Khan berkata, kedua-dua suspek yang ditahan itu didapati positif dadah dengan seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah.

Kedua-dua suspek kini sedang direman selama tujuh hari bermula 23 hingga 29 Mei ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Sehingga hari ini, polis masih melancarkan operasi susulan bagi mengesan dan menangkap saki baki anggota sindiket penyeludupan dadah terbabit," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 1:45 PM