ANTARA individu yang diperiksa dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, semalam. FOTO ihsan polis
ANTARA individu yang diperiksa dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, semalam. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebuah premis hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, diserbu polis semalam kerana beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya membuat serbuan di premis berkenaan jam 8.30 malam.

"Dalam serbuan itu, kami memeriksa 32 pengunjung, pemilik premis dan empat pekerja warga Bangladesh berusia antara 20 hingga 50 tahun.

"Semakan ke atas lesen perniagaan mendapati premis berkenaan mempunyai lesen sah dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, hanya pelanggan tetap dibenarkan masuk ke dalam premis berkenaan.

"Malah, premis itu juga dikawal ketat dengan kehadiran pengawal keselamatan serta kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.

Beliau berkata, seramai 18 lelaki dan tujuh wanita tempatan yang juga pengunjung premis dikenakan kompaun mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.4) 2021.

"Empat lelaki Bangladesh dan seorang wanita Thailand pula ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Tujuh wanita Thailand turut ditahan mengikut Seksyen 56 (1) (l) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memiliki permit atau dokumen perjalanan memasuki Malaysia yang palsu," katanya.

Beliau memberi amaran kepada orang ramai termasuk individu warga asing dan pengusaha pusat hiburan supaya terus mematuhi PKPB.

"Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.4) 2021 dan lain-lain peruntukan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 12:22 PM