Sri Ayu Kartika Amri


Gombak: Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan keyakinannya bahawa audio rakaman yang tersebar dan dikatakan milik suara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah sahih.

Menurutnya, sebagai bekas Setiausaha Sulit Anwar, Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), percaya rakaman suara itu milik dua individu terbabit.

"Sebagai pegawai yang berkhidmat dengan beliau (Anwar Ibrahim) sekian lama dan menjadi setiausaha sulit, saya yakin itu adalah rakaman yang sahih dan akan dibuktikan melalui penyiasatan yang akan dilakukan.

"Kita berharap kedua-dua individu ini perlu jujur, sekurang-kurangnya kepada ahli parti masing-masing," katanya kepada media di Program Semarak Malaysia Prihatin dan Penyampaian Sumbangan Ihya' Ramadan Parlimen Gombak di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, perbualan telefon itu juga dilihat sebagai pengkhianatan terbesar oleh Anwar kepada partinya sendiri.

"Saya kira ini adalah pengkhianatan terbesar dilakukan Anwar, bukan sahaja kepada partinya sendiri tapi juga kepada anggota komponen Pakatan Harapan (PH) kerana secara sulit menjalankan rundingan dan perbincangan.

"Kita menuntut supaya siasatan segara dijalankan, saya kira ia dapat memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk membela diri," katanya.

Sebelum ini, tular audio perbualan mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar yang tersebar sejak Selasa lalu dan masing-masing masih belum membuat sebarang laporan polis mengenai rakaman terbabit.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata, sebanyak 22 masjid dan 106 surau di kawasan Parlimen Gombak menerima sumbangan bantuan sempena Ramadan.

Kira-kira RM1 juta sumbangan disalurkan bagi membantu masjid dan surau sepanjang Ramadan ini.

DATUK Seri Mohamed Azmin Ali bergambar bersama sama penerima sumbangan pada wakil masjid dan surau bagi kawasan Parlimen Gombak di Masjid Gombak Utara. FOTO Aziah Azmee
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali bergambar bersama sama penerima sumbangan pada wakil masjid dan surau bagi kawasan Parlimen Gombak di Masjid Gombak Utara. FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 5:53 PM