TAN Sri Noh Omar. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
TAN Sri Noh Omar. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Umno Selangor menyerahkan kepada polis untuk menyiasat audio rakaman yang sedang tular di laman sosial kononnya membabitkan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Perhubungannya Tan Sri Noh Omar berkata, beliau menyifatkan tindakan Ahmad Zahid yang mengeluarkan kenyataan dan membuat laporan polis bagi menafikan perkara itu sebagai tindakan yang tepat.

"Dalam zaman teknologi masa ini, macam-macam perkara boleh berlaku.

"Bagi saya, biar pihak berkuasa jalankan siasatan dengan syarat laporan polis mestilah dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Frozen Food di Pusat Masakan KEMAS Sungai Gulang-Gulang, di sini, hari ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, Umno Selangor juga akan menunggu hasil siasatan pihak berkuasa sama ada audio rakaman itu benar atau tidak.

"Kita tunggu apa hasil siasatannya nanti," katanya.

Semalam, tular di laman sosial rakaman audio antara Ahmad Zahid dan Anwar yang merujuk kepada ucapan Presiden Umno itu dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini.

Dakwaan kerjasama itu bukan lagi rahsia dalam landskap politik tempatan walaupun kedua-dua pemimpin menafikan perkara berkenaan.

Ahmad Zahid dan Anwar juga dilaporkan akan membuat laporan polis bagi menafikan mereka adalah individu yang didakwa dalam rakaman audio berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 4:15 PM