Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Kenaikan pangkat dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah yang menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di Bukit Mertajam di sini pada Februari lalu satu penghargaan untuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Muhamad Shahilmi Shahadan, 30 dan Simon Pasang Anak Kana, 33, yang sebelum itu menjawat jawatan Koperal kini dinaikkan pangkat sebagai Sarjan pada Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan disempurnakan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim.

Muhamad Shahilmi berkata, beliau terkejut dimaklumkan kenaikan pangkat itu yang sepatutnya mengambil tempoh masa panjang antara 10 hingga 14 tahun selain perlu menjalani peperiksaan.

"Mungkin ini rezeki untuk isteri dan anak saya yang mana kenaikan ini saya tidak akan disia-siakan malah akan buat yang terbaik untuk PDRM.

"Ia satu galakan dan motivasi kepada anggota bawahan seperti saya serta boleh dijadikan contoh kepada rakan lain," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Muhamad Shahilmi Shahadan, 30, (kanan) dan Simon Pasang Anak Kana, 33, melihat pangkat Sarjan yang diterima mereka yang dipakaikan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim dalam satu majlis di Bukit Jawi Golf Resort, Jawi di sini. FOTO DANIAL SAAD
Muhamad Shahilmi Shahadan, 30, (kanan) dan Simon Pasang Anak Kana, 33, melihat pangkat Sarjan yang diterima mereka yang dipakaikan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim dalam satu majlis di Bukit Jawi Golf Resort, Jawi di sini. FOTO DANIAL SAAD

Bagi Simon pula, kenaikan pangkat diterima satu kepercayaan kepada dirinya untuk terus memajukan diri dalam kerjaya kepolisan selain semangat membanteras kegiatan jenayah secara habis-habisan.

"Saya dan Shahilmi sudah 10 tahun berkhidmat sebagai anggota polis yang mana untuk kenaikan pangkat ini memerlukan masa agak lama.

"Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada kami berdua dan ia tidak akan dipersia-siakan," katanya.

Pada 25 Februari lalu, Muhamad Shahilmi dan Simon yang membuat tugas rondaan jenayah berjaya menahan ahli sindiket pengedaran dadah yang sedang memunggah dadah dari lori ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda BRV berdekatan sebuah kondominium kira-kira jam 2 pagi di Bukit Mertajam.

Sebanyak 623.76 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM22.46 juta dirampas.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, kenaikan pangkat kedua-dua anggota itu diharap menjadi inspirasi kepada anggota polis lain.

"Ketua Polis negara memberikan kedua-dua anggota ini kenaikan pangkat Sarjan walaupun mereka masih baru dan kita berharap ia memberi motivasi kepada anggota lain bahawa integriti dalam PDRM begitu penting.

"Melaluinya juga kita dapat buktikan bahawa masih ramai pegawai dan anggota polis mempunyai jiwa integriti tinggi," katanya.

Menurutnya, selaras dengan kenaikan pangkat berkenaan kedua-dua anggota berkenaan ditukarkan ke Bahagian Siasatan Jenayah (CID) negeri.

Beliau berharap kedua-dua anggota berkenaan dapat mengekalkan integriti masing-masing walaupun ditukarkan ke unit lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 3:08 PM