Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertimbangkan untuk menambah jumlah sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara bagi mengelak orang ramai mengambil kesempatan merentas negeri bagi menyambut Ramadan di kampung halaman masing-masing.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, polis turut mengarahkan semua anggota supaya menghentikan memberi nasihat, sebaliknya terus mengambil tindakan tegas ke atas individu yang merentas negeri tanpa sebab munasabah.

Katanya, sehingga kini terdapat 35 SJR didirikan di seluruh negara membabitkan pintu masuk sempadan negeri.

"Sudah menjadi budaya setiap kali menjelang Ramadan akan banyak pergerakan rentas negeri berlaku kerana mahu menyambut Ramadan bersama keluarga di kampung.

"Oleh itu, bagi mengelak perkara ini berlaku polis mempertimbangkan untuk perketat pemeriksaan dengan menambah SJR terutamanya di laluan lorong tikus bagi memastikan tiada pergerakan rentas negeri tanpa sebab munasabah.

"Hal ini perlu kerana kes Covid-19 yang sepatutnya menurun dilihat masih tinggi bahkan timbul kluster-kluster baru ekoran pergerakan rentas negeri," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Zainal Abidin (kiri) sambil diperhatikan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan (dua dari kiri) memakaikan pangkat Sarjan kepada Simon Pasang Anak Kana. FOTO Danial Saad
Zainal Abidin (kiri) sambil diperhatikan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan (dua dari kiri) memakaikan pangkat Sarjan kepada Simon Pasang Anak Kana. FOTO Danial Saad

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Sarjan kepada dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah yang berjaya menahan ahli sindiket pengedaran dadah antarabangsa pada 25 Februari lalu.

Katanya, beliau menasihati orang ramai supaya mengawal pergerakan terlebih dahulu supaya dapat menyambut Hari Raya nanti.

"Pada masa ini jangan balik supaya nanti kita boleh raya dan sekarang tolong jaga pergerakan," katanya.

Mengulas mengenai arahan yang meminta individu yang ingin merentas negeri menyertakan jadual perjalanan serta aktiviti yang dilakukan, Zainal Abidin memaklumkan bahawa arahan itu bukan daripada pengurusan tertinggi PDRM.

"Kita tidak minta sampai tahap itu (jadual aktiviti) cuma kalau hendak rentas negeri sampai seminggu, kita cuma nak tahu apa alasannya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 1:14 PM