Kuala Lumpur: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi amaran keras terhadap mana-mana pegawai bawahannya yang masih bersekongkol dengan sindiket jenayah.

Ini disebabkan wujud situasi di mana terdapat pegawai yang sanggup mengorbankan nyawa rakan setugas demi imbuhan wang dari sindiket dengan memberikan maklumat salah dalam sesuatu operasi.

Mohd Shuhaily berkata, situasi berkenaan harus diberi perhatian serius oleh setiap pegawai atasan atau penyelia dalam Jabatan dan Bahagian Siasatan Jenayah di seluruh negara.

"Dalam erti kata lain, dalam pasukan ini kelak, ada yang sanggup membunuh antara satu sama lain disebabkan duit.

"Perkara ini berlaku disebabkan tiada penyeliaan di bawah (peringkat kontinjen dan daerah) untuk memantau dan melihat cara hidup pegawai dan anggota bawahan mereka.

"Bagaimana seorang sarjan boleh memiliki Alphard, Vellfire, Mercedes ?. Adakah pegawai atasan mereka atau penyelia bertanya bagaimana boleh memiliki kenderaan mewah, ada buat pengisytiharan harta," katanya dalam Majlis Amanat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang di sini, semalam.

Majlis amanat ini dihadiri oleh Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kontinjen, Ketua-Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) seluruh Malaysia.

Mohd Shuhaily berkata, penyeliaan oleh pegawai atau penyelia atasan ini adalah satu perkara yang sememangnya sedia ada dalam arahan penugasan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sebab itu ada antara pegawai dan anggota di bawah penyeliaan anda buat benda merapu-rapu, sebab apa, sebab Bosnya sendiri tak ambil port (tak ambil peduli). Bukan setakat tak ambil tahu malah Bosnya pun sama.

"Ada Bos (pegawai atasan) bersama Sarjan pergi beli kereta mewah berdua (hasil imbuhan sindiket) selain turut sama memilih nombor pendaftaran kenderaan mereka.

"Inilah sebenarnya perkara yang terjadi dalam pasukan," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada semua 130 KBSJD yang gagal menjalankan tugas mengikut arahan pasukan PDRM.

"Sesiapa sahaja antara 130 orang ini yang masih gagal mengikut arahan, anda bukan sahaja saya akan tukarkan malah saya akan tulis notis cadangan di situ bahawa pegawai ini tidak layak untuk diberi kenaikan pangkat.

"Ini sebab mereka tidak layak diberi tanggungjawab menyelia orang lain dengan pangkat lebih tinggi sedangkan dengan pangkat sedia ada pun anda gagal," katanya.

Katanya, beliau berharap untuk semua pegawai dan anggota jabatannya dari peringkat Bukit Aman sehinggalah Balai Polis untuk terus bekerja dengan cara dan jalan yang betul selain menghentikan budaya 'berkawan' dengan sindiket.

Mohd Shuhaily beri amaran keras kepada pegawai yang masih bersekongkol dengan sendikit jenayah.
Mohd Shuhaily beri amaran keras kepada pegawai yang masih bersekongkol dengan sendikit jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 3:40 PM