Pelajar sekolah menengah dilihat memakai pelitup muka ketika tinjauan pembukaan sekolah bagi sesi 2021 untuk pembelajaran secara bersemuka Kumpulan B yang bermula hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Pelajar sekolah menengah dilihat memakai pelitup muka ketika tinjauan pembukaan sekolah bagi sesi 2021 untuk pembelajaran secara bersemuka Kumpulan B yang bermula hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Selepas hampir setahun tidak bersua muka, pelajar sekolah menengah Tingkatan Satu hingga Empat teruja dan menarik nafas lega apabila mula kembali ke sekolah, hari ini.

Pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Cheras, Nur Aqilah Batrisyia Ahmad Sanusi, 15, berkata, bersekolah secara bersemuka lebih mudah untuknya memberikan tumpuan berbanding menjalani sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah sebelum ini.

"Saya lega dan gembira kerana dapat kembali ke sekolah selepas lama tidak bersemuka dengan guru dan kawan.

"Di sekolah, saya boleh bertanya dan berbincang terus dengan guru dan kawan jika ada topik yang saya kurang faham.

"Jika di rumah sebelum ini, agak sukar sedikit bagi saya hendak fokus belajar kerana masalah Internet dan telefon pintar selain terganggu dengan adik kecil di rumah," katanya.

Bagi Norhayati Kamih, 36, walaupun masih bimbang dengan situasi penularan Covid-19 dalam negara, namun dia menaruh sepenuh kepercayaan kepada pihak pengurusan sekolah mengendalikan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah dua anaknya.

"Sebagai ibu, memang kita risau juga kerana Covid-19 ini benda yang kita tidak nampak, tetapi saya yakin dan sedikit lega apabila pihak sekolah mengamalkan langkah SOP ketat termasuk pemeriksaan suhu, meja pelajar dijarakkan selain makan pada waktu rehat dalam kelas sahaja.

"Malah, saya kerap berpesan dengan dua anak yang belajar di tingkatan satu dan tiga supaya mematuhi SOP selain turut membekalkan mereka dengan cecair pembasmi kuman dan pelitup muka untuk kegunaan di sekolah setiap hari.

"Bagi saya, penting juga sekolah bersemuka ini kerana anak saya bakal menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga tahun ini, jadi ia peluang terbaik untuk dia kerap berkomunikasi dan berbincang bersama guru dan rakannya di sekolah," katanya.

Sementara itu, Datin Seri Norliana Alias, 45, berkata, tiga anaknya yang menuntut di tingkatan satu hingga tiga sudah membuat persiapan awal dan diberikan pendedahan mengenai SOP yang perlu diamalkan.

"Tiga anak saya bangun awal dan masing-masing teruja ke sekolah.

"Dari segi pematuhan SOP, mereka tiada masalah kerana kami di rumah sudah dedahkan mereka lebih awal tentang suasana bersekolah dalam norma baharu termasuk pemakaian cecair pembasmi kuman dan pelitup muka selain mematuhi segala SOP ditetapkan pihak sekolah," katanya.

Menurutnya, pihak sekolah anaknya mengedarkan video SOP lebih awal pada Februari lalu mengenai bagaimana pergerakan pelajar tingkatan lima di sekolah dan sistem itu turut terpakai untuk pelajar yang baru masuk, semalam.

"Pihak sekolah bukan sahaja menyediakan SOP asas seperti pemeriksaan suhu dan penjarakan fizikal, malah mereka menambah laluan pergerakan sehala bagi mengelak pelajar bertembung serta sistem makanan yang ditempah di kantin dan diedarkan mengikut kelas masing-masing.

"Malah, saya juga lega apabila pihak polis turut memantau pergerakan dan pematuhan SOP di sekolah," katanya.

Hari ini, giliran pelajar sekolah menengah tingkatan satu hingga empat di negeri Kumpulan B memulakan sesi persekolahan secara bersemuka selepas Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 5:38 PM