PELAJAR Tingkatan 6 memulakan sesi pembelajaran di sekolah. FOTO Aizuddin Saad
PELAJAR Tingkatan 6 memulakan sesi pembelajaran di sekolah. FOTO Aizuddin Saad
Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang: "Selepas beberapa bulan belajar secara dalam talian, saya amat teruja untuk hadir ke sekolah hari ini," kata pelajar Tingkatan Enam Semester Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tasik, di sini, T Risyan.

Risyan berkata, pembukaan sekolah hari ini membolehkannya untuk lebih fokus belajar berbanding pembelajaran secara dalam talian sebelum ini.

"Pada pendapat saya, pembelajaran secara dalam talian agak mencabar kerana sukar untuk fokus dan memahami silibus pembelajaran.

"Dengan pembukaan sekolah hari ini, saya rasa amat teruja untuk belajar secara bersemuka dengan guru dan rakan-rakan," katanya ketika ditemui di SMK Taman Tasik, di sini, hari ini.

Katanya, dia juga sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin pada 14 September lalu.

"Saya rasa lebih yakin untuk hadir ke sekolah selepas lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

"Apabila sudah mengambil vaksin, sekurang-kurangnya saya dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 ketika berada di sekolah atau di luar rumah," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Tingkatan Enam Semester Dua di sekolah berkenaan, Nur Fatehah Mohd Syazwan berkata, dia berasa seronok apabila dapat kembali semula ke sekolah.

"Apabila kerajaan mengumumkan sekolah akan dibuka semula mengikut fasa, saya rasa gembira dan ada membuat sedikit persiapan dengan menyediakan buku-buku untuk dibawa ke sekolah.

"Saya rasa seronok sebab dapat jumpa dengan guru dan rakan memandangkan sudah lama kami tidak berjumpa secara bersemuka," katanya.

Nur Fatehah berkata, dia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian semasa pembelajaran secara dalam talian sebelum ini.

"Sebelum ini, kami belajar secara dalam talian dan saya rasa susah mahu fokus kerana komunikasi dengan guru serta rakan adalah terhad.

"Saya harap dengan pembukaan sekolah ini saya dapat fokus belajar terutama menjelang peperiksaaan tidak lama lagi," katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro di SMK Taman Tasik, hari ini, mendapati proses kehadiran pelajar di sekolah berkenaan berjalan lancar dengan pihak guru memastikan semua pelajara yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Semua pelajar yang hadir sama ada Tingkatan Enam Semester Dua mahupun pelajar berkeperluan khas diminta untuk mendaftar masuk menggunakan MySejahtera, diambil suhu dan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum masuk ke dalam kelas.

Malah sebelum sesi pembelajaran bermula, mereka diingatkan oleh guru supaya mematuhi SOP ditetapkan dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak menanggalkan pelitup muka sepanjang berada di dalam kelas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 11:30 AM