Hazira Ahmad Zaidi


SERAMAI 200 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) polis yang berpangkat inspektor dan ke atas ditempatkan di 177 sekolah menengah di seluruh Kelantan bagi memastikan pelajar dan guru mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika sesi persekolahan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, tugas PPS polis yang ditempatkan di sekolah yang memulakan sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan Lima dan Enam bagi membantu pihak sekolah menjalankan pemantauan dari aspek pematuhan SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam tempoh memerangi Covid-19 ketika fasa PKPP.

"Pihak kami menempatkan dua atau lebih PPS polis di setiap sekolah untuk melakukan pemantauan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran (PnP) di sekolah dari jam 7.30 pagi hingga 2 petang

"Ia bertujuan membantu pihak sekolah supaya semua pelajar mematuhi penetapan SOP seperti membeli atau menerima bekalan makanan daripada kantin sekolah selain tidak berkumpul kerana perlu menjaga penjarakan sosial.

"Pada masa sama, pihak kami turut menempatkan anggota trafik dan anggota lain untuk melakukan pemantauan bagi memastikan kelancaran lalu lintas di kawasan sekolah serta memastikan tidak ada pengumpulan pelajar yang bersembang selepas sesi persekolahan selesai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan Pada Hari Pertama Persekolahan PPKP di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Mohd Zamri Abdul Aziz.

Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra  memakai pelitup muka sebelum memulakan kelas pada hari pertama sesi persekolahan selepas hampir 3 bulan ditutup dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra memakai pelitup muka sebelum memulakan kelas pada hari pertama sesi persekolahan selepas hampir 3 bulan ditutup dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Abdullah berkata, ketika melakukan pemantauan pematuhan SOP di SMK Ismail Petra, pihaknya berpuas hati dengan tatacara pihak pengurusan dari segi SOP mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh KPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Melalui pemantauan yang dilakukan pada pagi ini, pihak kami dapati pelajar yang hadir ke sekolah memakai penutup hidung dan mulut, membuat saringan suhu serta mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman.

"Selain itu, semasa berada di dalam kelas, pelajar juga menjaga penjarakan sosial dan kedudukan meja pelajar disusun pada jarak tiga meter antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata, seramai 24,783 pelajar Tingkatan Lima dan Enam dari seluruh negeri memulakan sesi persekolahan selepas hampir empat bulan bercuti panjang berikutan penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di sekitar Kompleks Sekolah-sekolah Wakaf Mek Zainab mendapati pelajar mula dihantar bersekolah oleh ibu bapa masing-masing seawal jam 7 pagi.

Setibanya pelajar di pintu pagar utama sekolah, guru-guru terlebih dulu mengambil bacaan suhu badan pelajar dan pada masa sama mereka perlu memakai penutup hidung dan mulut serta mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum dibenarkan masuk ke dalam kelas secara teratur.

Seorang bapa, Razi Abdul Rahim, 50, berkata, dia berpuas hati dengan SOP yang diamalkan oleh pihak sekolah dengan melakukan persediaan rapi mengikut garis panduan yang ditetapkan.

"Saya berharap pelajar dan pihak sekolah bersama-sama mematuhi SOP yang ditetapkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 2:12 PM