GAJAH liar yang memijak dua lembu penduduk dua minggu lalu berjaya ditangkap. FOTO PERHILITAN
GAJAH liar yang memijak dua lembu penduduk dua minggu lalu berjaya ditangkap. FOTO PERHILITAN
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap gajah liar yang memijak dua lembu penduduk hingga mati minggu lalu.

Pengarahnya, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, gajah itu ditangkap 1 petang semalam di kawasan tidak jauh daripada tempat kejadian di Kampung Subong, di sini.

Katanya, lapan anggota jabatan itu melancarkan operasi menangkap gajah liar terbabit sebaik menerima aduan daripada penduduk.

Beliau berkata, pihaknya juga menerima aduan daripada penduduk Kampung Kundur dan Panggong Lalat, di sini, apabila dipercayai gajah yang sama memasuki kebun mereka.

"Berdasarkan siasatan, gajah jantan yang berjaya ditangkap itu dianggarkan berusia 15 hingga 20 tahun dan ukuran tapak kaki 13 inci (33 sentimeter)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Minggu lalu, 30 penduduk di Kampung Lembaga kerugian RM50,000 apabila 300 pokok pisang mereka dimusnahkan gajah itu.

Selain itu, dua lembu milik seorang penternak di situ mati dipijak gajah liar terbabit.

Ady Ermanty Haniff berkata, gajah itu dipercayai berpecah daripada sekumpulan 20 gajah dari Hutan Simpan Nenggiri dan keluar masuk hutan itu untuk mencari sumber makanan.

Beliau berkata, gajah itu masih berada di lokasi tangkapan sementara menunggu operasi perpindahan.

Katanya, pemindahan itu akan dibantu kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah Lanchang, Pahang.

"Operasi pemindahan itu dalam masa terdekat ini turut digunakan dua gajah denak Kasturi dan Rambai,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 3:18 PM