Paya Linda Yahya


Gua Musang: Dua gajah denak digunakan dalam operasi pemindahan seekor gajah jantan yang dikesan merosakkan tanaman penduduk di Jalan Subong, Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di sini, hari ini.

Operasi menggunakan khidmat dua gajah betina iaitu Suria dan Indah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka, Hulu Terengganu bermula 8.30 pagi dan berakhir pada 3 petang tadi.

Ketua Operasi Translokasi Gajah Liar RPT Sungai Terah, Jimmy Anak Unau berkata, gajah jantan diberi nama Dee Subong dengan berat 2.5 tan itu ditangkap di kebun penduduk pada Khamis lalu selepas usaha mengesannya dilakukan sejak Isnin lalu.

Menurutnya, terdahulu pihaknya menerima aduan penduduk pada 28 Februari lalu dan operasi mengawal dan mengesan gajah berkenaan dilakukan.

"Operasi hari ini membabitkan 24 anggota dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk memindahkan gajah itu ke habitat asalnya," katanya ketika ditemui, di sini.

Jimmy yang juga Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka berkata, gajah terbabit dipercayai berasal dari Hutan Simpan Nenggiri yang terletak berhampiran.

Sementara itu, penduduk Zahari Daud, 53, berkata penangkapan gajah itu melegakan mereka yang sebelum ini menanggung kerugian kerana tanaman dirosakkan haiwan berkenaan.

"Alhamdulillah, penangkapan gajah ini melegakan pekebun yang sebelum ini mengalami kerugian sehingga beribu ringgit. Terima kasih kepada Perhilitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 4:37 PM
Gajah liar jantan, Dee Subong, diapit Suria (kanan) Dan Indah dalam Operasi pemindahan gajah di Jalan Subong, RPT Sungai Terah di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya
Gajah liar jantan, Dee Subong, diapit Suria (kanan) Dan Indah dalam Operasi pemindahan gajah di Jalan Subong, RPT Sungai Terah di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya