FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi sektor peruncitan dan pengedaran negara, mencapai 98 peratus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah itu direkodkan sejak 13 Mei 2020 adalah berdasarkan 417,492 pemeriksaan premis yang dijalankan pegawai penguat kuasa kementeriannya.

Antara yang diperiksa adalah pasar raya, restoran, kilang, pasar awam dan pasar tani.

"Saya boleh katakan penguatkuasaan yang kita laksanakan itu berjaya. Hanya sedikit sahaja premis perniagaan yang tidak mematuhi SOP iaitu kurang 10,000 kes.

"Ini adalah hasil kerjasama yang baik secara berpasukan di kementerian ini. Kita faham objektif kita dan saya serta timbalan saya (Datuk Rosol Wahid) sering turun padang untuk bertemu dengan golongan sasar kita secara bersemuka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Satu Tahun Malaysia Prihatin bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) secara atas talian, hari ini.

Alexander berkata, daripada pemeriksaan yang dijalankan setakat 9 Mac lalu, sebanyak 169 premis dikenakan kompaun, 589 diberikan amaran dan 7,746 premis diberikan nasihat.

Beliau memaklumkan, sebanyak 37 SOP ditetapkan bagi sektor peruncitan dan pengedaran supaya dapat beroperasi dalam tempoh PKP, PKP Bersyarat (PKPB), PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP Pemulihan (PKPP), namun pada masa mengambil langkah mencegah penularan Covid-19.

"Tugas kementerian bukan sahaja untuk melindungi pengguna tetapi juga menjaga kepentingan komuniti peniaga.

"Kita mengamalkan dasar mesra kepada semua komuniti peniaga, menghargai dan memahami kepentingan pemain industri dalam mengekalkan sektor ekonomi yang bertenaga serta aktif.

"Kita sering mengadakan libat urus bersama mereka kerana kita mahu memahami masalah yang dihadapi dan seterusnya mencari penyelesaian kepada setiap masalah, bukan hanya menekan mereka dengan dasar serta peraturan semata-mata," katanya.

Mengenai kebenaran yang diberikan kepada kedai emas untuk beroperasi ketika PKP kedua pada Januari lalu, Alexander berkata, pihaknya melihat kepada kepentingan transaksi di kedai itu dan jumlah pekerja yang akan terjejas.

"Jika lihat pada emas itu sendiri, ia bukan barang keperluan. Bagaimanapun, kita perlu lihat kepada kedai besar yang mempunyai ramai pekerja, manakala kedai kecil pula dimiliki oleh keluarga dan ia adalah mata pencarian mereka serta pekerja.

"Kebanyakan orang pula memerlukan perkhidmatan di kedai emas seperti menggadai atau menukarnya kepada wang bagi keperluan harian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 2:56 PM