Jambatan pejalan kaki Saloma Link lengang pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 hari ini. FOTO Aizuddin Saad.
Jambatan pejalan kaki Saloma Link lengang pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 hari ini. FOTO Aizuddin Saad.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula hari ini, menyaksikan premis perniagaan yang termasuk dalam 16 aktiviti dibenarkan beroperasi membuka kedai mereka seperti biasa dengan pematuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tinjauan Harian Metro di ibu negara mendapati, perniagaan yang dilarang tidak beroperasi seperti kedai gunting rambut, dobi layan diri dan butik kecantikan.

Seorang peniaga kosmetik, Asneda Md Akhir, 36, berkata, dia akur dengan arahan terbaharu itu kerana yang penting adalah memastikan penularan jangkitan Covid-19 dapat diputuskan, sekali gus keadaan kembali normal.

Malah dia juga tidak beroperasi sebaliknya mematuhi perintah dan keluar ketika memerlukan sahaja.

"Hari ini saya keluar rumah di Cheras untuk membeli barangan keperluan di pasar raya yang terletak dalam radius 10 kilometer (km) dari rumah kerana suami bekerja.

"Keadaan di pasar raya pun lengang, hanya kelihatan pekerja dan beberapa pelanggan saja. Premis lain yang tidak bekeperluan semuanya tutup.

"Tapi ketika dalam perjalanan tadi jalan raya agak sibuk, mungkin kerana orang keluar bekerja," kata ibu dua anak itu ketika ditemui, hari ini.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan 16 aktiviti bagi sektor perdagangan dan pengedaran di bawah kawal selia kementerian yang dibenarkan beroperasi sepanjang PKP di enam negeri.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia membabitkan kompleks membeli-belah, pasar raya atau pasar raya besar, 'departmental store', farmasi atau penjagaan diri, kedai serbaneka atau mini mart; dobi (tidak termasuk layan diri)' restoran dan kedai perabot.

Katanya, turut dibenarkan beroperasi ialah kedai emas, kedai elektrik dan elektronik, kedai buku dan alat tulis, kedai perkakas, makanan haiwan, bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti, pusat pengedaran dan jualan kereta serta kedai runcit pengkhususan lain seperti di stesen minyak.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 3:43 PM