Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan menyifatkan tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terdapat gerakan sulit untuk menjatuhkan Ketua Polis Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, sebaliknya berkata, perkara itu akan diselesaikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

"Saya rasa tidak timbul masalah berkenaan sebagaimana disebut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Itu masalah dalaman yang hanya perlu dikendalikan oleh SPP.

"SPP ini dipengerusikan oleh Menteri KDN dan Ketua Polis Negara pun ada dalam suruhanjaya berkenaan. Bagi saya tiada masalah besar pun untuk menyelesaikan perkara ini.

"Serah saja kepada SPP," katanya pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin Sesi Bersama Pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di JPM (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Media sebelum ini melaporkan, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan sekelompok pegawai dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba mencaturkan keadaan dan mencemar imejnya dengan tujuan menjatuhkan beliau.

Sebagai Ketua Polis Negara, beliau dipetik berkata, gerakan sulit itu akan ditangani dengan sewajarnya, sebelum menjadi lebih parah kerana kumpulan itu mahu menguasai semua jawatan utama dalam PDRM.

Beliau dilaporkan berkata, perkara itu dihebahkan kerana ia berpotensi menjadi kanser dan beliau tidak akan berdiam diri.

Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 5:34 PM