Baharom Bakar

Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak bercadang meminda akta bagi membolehkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum (SHM) sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, harga barangan keperluan utama masih terkawal dan tidak kenaikan dilaporkan selepas kerajaan melaksanakan SPP bermula Selasa lalu.

Katanya, semua barang keperluan utama juga mencukupi untuk menampung keperluan seluruh rakyat sepanjang tempoh SPP.

"SHM hanya dilakukan pada musim perayaan bagi memastikan tiada kenaikan harga terutama membabitkan barangan keperluan utama.

"Setakat ini tiada keperluan untuk kerajaan meminda akta bagi membolehkan SHM diadakan sepanjang tempoh SPP," katanya kepada media ketika melawat Pusat Suntikan Vaksin Covid-19 di dewan Sivik Ajil di sini, hari ini.

ROSOL (kiri) mendengar taklimat operasi disampaikan Dr Nur Fauzani (dua kanan) ketika melawat Pusat Suntikan Vaksin COVID-19, di Dewan Sivik Ajil. FOTO Baharom Bakar
ROSOL (kiri) mendengar taklimat operasi disampaikan Dr Nur Fauzani (dua kanan) ketika melawat Pusat Suntikan Vaksin COVID-19, di Dewan Sivik Ajil. FOTO Baharom Bakar

Hadir sama Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu, Dr Nur Fauzani Md Arshad dan Pengerusi Panel Klinik Kesihatan Ajil, Mohd Pauzi Yusoff.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, kerajaan tidak menerima laporan berlaku kekurangan bekalan barangan keperluan utama di pasaran selepas pelaksanaan SPP di seluruh negara termasuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Hasil tinjauan dilakukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP mendapati berlaku penurunan berapa barangan basah termasuk ayam segar di pasaran.

"Pengguna diminta hanya membeli barangan mengikut keperluan dan tidak perlu melakukan pembelian panik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 1:28 PM