Musa Hassan
Musa Hassan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Dua bekas Ketua Polis Negara menegaskan tidak perlu diadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu campur tangan menteri dalam bidang kuasa polis.

Tan Sri Musa Hassan berkata, ini kerana dalam perlembagaan jelas menyatakan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dipengerusikan Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa menentukan kenaikan pangkat.

Menurutnya, SPP ada kuasa itu dan keputusan dibuat secara berkumpulan dari sembilan ahli suruhanjaya bukan hanya individu yang memutuskannya.

"Jadi tiada timbul soal menteri campur tangan kerana kuasa SPP itu termaktub dalam perlembagaan.

"Bagaimanapun jika benar dakwaan dibuat itu maka beliau (Tan Sri Abdul Hamid Bador) perlu tampil membuat laporan polis supaya satu siasatan dapat dijalankan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor berkata, RCI tidak perlu ditubuhkan membabitkan isu ini kerana apa yang berlaku dilihat lebih kepada pergeseran antara Menteri Dalam Negeri ketika ini dengan bekas ketua polis negara yang baharu bersara.

"Malah, tidak perlu diubah sistem yang ada sekarang iaitu Pengerusi SPP dipegang oleh Menteri Dalam Negeri kerana jika ada cadangan melantik dalam kalangan orang lain seperti hakim dan sebagainya ia tidak semestinya dapat menghapus kelemahan manusia itu sendiri.

"Walau siapa pun dilantik sebagai Pengerusi SPP, sama ada Menteri Dalam Negeri atau diubah kepada hakim atau bekas hakim, perlu kembali kepada keperibadiannya.

"SPP banyak bergantung kepada sifat pengerusi itu sendiri," katanya.

Abdul Rahim berkata, soal kenaikan pangkat pula mengikut artikel 140 perlembagaan persekutuan memang kuasa kenaikan pangkat, tatatertib, melantik anggota polis di bawah SPP namun banyak kuasa sudah diwakilkan kepada Ketua Polis Negara atau pegawai kanan polis.

"Bagaimanapun sesetengah kuasa SPP tidak boleh diwakilkan seperti kenaikan pangkat Timbalan Ketua Polis Negara kepada Ketua Polis Negara di mana ia masih di bawah kuasa SPP kerana ia perlu mendapat persetujuan Yang Dipertuan Agong sebelum dilantik.

"Jadi banyak kuasa seperti kenaikan pangkat dan tatatertib diwakilkan kepada pegawai kanan polis termasuk Ketua Polis Negara namun masih ada tindakan tata tertib masih di bawah kuasa SPP," katanya.

Katanya, jadi tidak perlu timbul soal siapa lebih berkuasa sama ada Menteri Dalam Negeri atau Ketua Polis Negara kerana sistem ini sudah dilaksanakan sejak dari merdeka lagi.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Pakatan Nasional (PN) digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu campur tangan menteri dalam bidang kuasa polis.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini, mencadangkan SPP tidak lagi dipengerusikan menteri, sebaliknya individu tidak berpihak seperti bekas ketua hakim atau hakim dilantik menduduki jawatan itu.

Abdul Hamid menegaskan menteri sebagai Pengerusi SPP, juga tidak sepatutnya campur tangan dalam pengurusan pasukan PDRM, sebaliknya perlu menumpukan perkara berkaitan dasar dan bukannya terbabit dalam urusan pertukaran pegawai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 7:10 PM