Hamzah Zainuddin mengadakan sidang media mengenai Wacana Meja Bulat bersama Menteri Dalam Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
Hamzah Zainuddin mengadakan sidang media mengenai Wacana Meja Bulat bersama Menteri Dalam Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini menafikan beliau campur tangan dalam urusan pertukaran pegawai kanan polis.

Beliau berkata, sebarang urusan pertukaran pegawai kanan polis adalah keputusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

"Saya tidak pernah mencampuri urusan polis, saya minta maaflah kalau ada orang yang mengatakan saya mencampurinya.

"Tapi ini jelas, kerana saya adalah pengerusi SPP, kalau ada keputusan yang dikeluarkan adalah keputusan SPP.

"Tapi itulah kadang-kadang keputusan ini ada khilafnya, ada orang yang kadang-kadang menerima sesuatu keputusan itu dengan cara (maksud) lain," katanya selepas hadir Program Wacana Meja Bulat bersama Menteri Dalam Negeri, di sini, hari ini.

Hamzah memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai isu campur tangan beliau dalam pertukaran pegawai kanan polis.

Beliau berkata, apa yang paling penting keputusan itu harus dilihat sebagai keputusan SPP.

"Betullah saya Menteri, tetapi saya pengerusi SPP. Jadi keputusannya adalah keputusan majoriti dan saya sentiasa ikut keputusan majoriti.

"Daripada saya buat keputusan sendiri, saya rasa elok semua pihak memahami bahawa SPP adalah suruhanjaya yang paling tinggi, kerana ia dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri," katanya.

Selain itu, Hamzah berkata, memang benar watikah pelantikan Ketua Polis Negara juga adalah daripada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, pada masa sama, SPP seharusnya diletakkan di tempat paling atas daripada Ketua Polis Negara, kerana segala keputusan polis dibuat dalam majlis itu (SPP) daripada (berbanding hanya) membabitkan seorang individu.

Sementara itu, ditanya mengenai pertemuannya bersama dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Hamzah enggan mengulas lanjut perkara berkenaan.

Pada 10 April lalu, Abdul Hamid dilapor akan berjumpa Hamzah dalam masa terdekat untuk meneruskan semula pelaksanaan pertukaran pegawai kanan polis yang ditangguhkan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 3:55 PM