Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Suraya Roslan


Putrajaya: "Saya sebagai Pengerusi SPP (Suruhanjaya Pasukan Polis) ini pertama kali saya dengar ada kartel dalam polis (Polis Diraja Malaysia)," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika ditanya mengenai dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador wujud kartel dalam pasukan itu terdiri daripada pegawai muda untuk menjatuhkannya demi melakukan kerja kotor.

Malah, Hamzah turut menyarankan Hamid supaya membuat laporan kepada SPP supaya siasatan dapat dilakukan pihaknya.

"Saya akan lihat kalau betul kita akan pastikan tiada kartel. "Kalau IGP (Hamid Bador) tahu ada kartel dia patut bawa isu ini dalam SPP kerana ia suruhanjaya tertinggi dalam perkhidmatan polis," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pelancaran Bas Mobile Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, hari ini.

Menurutnya, Hamid sepatutnya tahu untuk mengetengahkan isu itu sekiranya wujud dakwaan itu.

"Siapa salah maka kita akan ambil tindakan kerana SPP ada kuasa tentukan tindakan atas mana-mana pegawai.

"SPP ada kuasa menentukan tindakan atas mana-mana pegawai sama ada nak gantung, lucut atau hukum kena melalui SPP," katanya.

Ditanya adakah benar Hamid akan bersara Mei depan, Hamzah berkata, dia gembira dengan perkhidmatan ketua polis negara itu setakat hari ini.

"Kenapa nak persoalkan kedudukan beliau, saya gembira dengan perkhidmatan yang diberikan setakat ini.

"Jadi jangan cakap tentang masa depan dia, apa yang penting adalah saya gembira dengan perkhidmatan beliau," katanya.

Semalam, dalam program Sinar Live bersama KPN, yang dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Hamid mendedahkan sekelompok pegawai dalam PDRM cuba mencaturkan keadaan dan mencemar imejnya dengan tujuan menjatuhkan beliau.

Katanya, gerakan sulit itu akan ditangani dengan sewajarnya sebelum menjadi lebih parah kerana kumpulan itu mahu menguasai semua jawatan utama dalam PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 6:58 PM