MOHD HAYATI OTHMAN
MOHD HAYATI OTHMAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah Yan akan melakukan pembersihan di kawasan penempatan warga Myanmar di Kuala Sala, Yan, berikutan ia turut mencemarkan kawasan laut di Pulau Songsong.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, berdasarkan mesyuarat bersama Pegawai Daerah Yan sebelum ini, peruntukkan sebanyak RM86,000 diluluskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit bagi melantik syarikat melakukan pembersihan di kawasan berkenaan.

"Sampah di situ mereka buang begitu saja keluar rumah, masalahnya orang lain turut terima bahana dari kelakuan mereka,

air parit busuk dan tandas mereka bina ikut suka tidak seperti penempatan orang kita.

"Sampah yang mereka buang juga sampai ke Pulau Songsong, kita dengar keluhan orang ramai mengenainya, jika harapkan mereka ini memang tak akan jadi apa kecuali kita terpaksa ambil tindakan membersihkan kawasan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan terdapat kira-kira 80 rumah dengan lebih 400 penduduk diragui status kewarganegaraan masing-masing mendiami kawasan berdekatan Kampung Seberang Jaya, Kuala Sala dipercayai sejak 20 tahun lalu.

Kawasan itu juga dipercayai menjadi antara lokasi mendarat pendatang Myanmar ke Semenanjung selepas menjadikan Bukit Malut di Langkawi sebagai tempat transit mereka.

Ketika ditanya mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap penduduk Burma yang tinggal di situ, Dr Mohd Hayati berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengetahui status mereka terlebih dahulu.

Katanya, penduduk di persisiran pantai Kuala Sala ini dipercayai adalah Melayu Islam Kedah (MIK) dan berkemungkinan mempunyai kaitan dengan penduduk di Bukit Malut, Langkawi.

"Kita kena dapatkan pengesahan daripada MKN dahulu kerana penduduk Burma yang dikenali sebagai MIK di Bukit Malut adalah di bawah bidang kuasa MKN. Jika kita lihat daripada rupa dan cara hidup mereka samalah dengan yang ada di Bukit Malut.

"Mereka menjadikan laut sebagai penghubung untuk mereka berulang alik dari Bukit Malut ke Kuala Sala. Kita tak boleh pandai-pandai, di Bukit Malut sebelum ini saya pernah suarakan untuk pergi melawat di sana tapi dinasihatkan tidak berbuat demikian atas sebab-sebab tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 4:44 PM