Mohd Nizar Sudin (tengah) menyerahkan replika cek bernilai RM15,000 kepada Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi (Pembangunan Murid) Ismail Man (kiri) di Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Mohd Nizar Sudin (tengah) menyerahkan replika cek bernilai RM15,000 kepada Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi (Pembangunan Murid) Ismail Man (kiri) di Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


Langkawi: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) memperkenalkan Skim Anak Angkat Pesisir Pantai (SAPP) bagi meningkatkan pencapaian akademik anak nelayan di kawasan kepulauan di negara ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin berkata, program itu adalah lanjutan program sama sebelum ini dan dilaksanakan secara lebih berfokus.

"Sebelum ini, Program Anak Angkat YPM sudah dilaksanakan bersama 1,800 pelajar dan membabitkan kerjasama sektor korporat serta individu.

"Tahun ini kita fokuskan program SAPP dengan projek perintis di Pulau Tuba," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cermin Mata dan Kembali Ke Sekolah di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Mara Kedah (Pembangunan), Mohamad Khairudin Mohd Asari dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi (Pembangunan Murid), Ismail Man.

Mohd Nizar berkata, selepas Pulau Tuba program itu akan diperluaskan ke kawasan pesisir pantai seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM).

Sementara itu, pada majlis itu, Mohd Nizar menyerahkan sumbangan 100 cermin mata bernilai RM15,000 dan bantuan persekolahan bernilai RM12,000 kepada pelajar dari keluarga B40.

Selain itu, YPM turut menyerahkan 3,000 keping pelitup muka dan 50 cecair pembasmi kuman untuk diagihkan kepada pelajar yang layak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 4:07 PM