ABDUL Karim  bersama pelajar yang  berlepas ke Jepun untuk program Mirae No Tobira.
ABDUL Karim bersama pelajar yang berlepas ke Jepun untuk program Mirae No Tobira.

Sepang: Seramai 10 pelajar cemerlang tingkatan empat dari seluruh negara bakal menimba pengalaman berharga apabila terpilih mengikuti program ‘Mirae No Tobira’ (Gerbang Masa Hadapan) di Tokyo, Jepun selama seminggu bermula semalam.

Mereka yang juga anak angkat Yayasan Pelajaran MARA (YPM) berlepas ke Tokyo dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini semalam dengan majlis pelepasan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YPM Datuk Abdul Karim Mustafa.

Abdul Karim ketika ditemui berkata, program julung kali itu dianjurkan dengan kerjasama Unit Alumni Program Pendidikan Tinggi Malaysia-Jepun (MJHEP); universiti terpilih dan Persatuan MJHEP di Jepun.

Beliau berkata, semua pelajar berkenaan akan ditempatkan bersama pelajar tajaan YPM di Jepun dan mereka akan merasai pengalaman belajar di negara berkenaan selain mengikuti beberapa program lawatan dan motivasi.

“Program ini dilaksanakan bertujuan memberi motivasi kepada mereka supaya belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang cemerlang.

“Pemilihan pelajar tidak mudah kerana mereka yang terpilih adalah anak-anak cemerlang ketika Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) lalu malah, mereka terpilih dalam kalangan 1,200 anak angkat YPM bermula dari tahun satu sehingga ke tingkatan lima,” katanya.

Katanya, selama seminggu di Jepun, mereka akan berpeluang tinggal bersama pelajar tajaan YPM di Jepun termasuk merasai cara kehidupan dan mengikuti aktiviti sebagai pelajar universiti di sana.

Abdul Karim berkata, beliau berharap peserta program dapat menerap nilai positif dan budaya hidup orang Jepun yang berdisiplin sebelum berkongsinya untuk menjadi contoh kepada rakan, keluarga dan masyarakat sekeliling apabila mereka pulang nanti.

“Apa yang menarik, program lawatan ini mendapat penajaan daripada rakan strategik YPM dan Majlis Amanah Mara (MARA),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 9:15 AM