Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: Yayasan Pelajaran Mara (YPM) memperuntukkan sebanyak RM300,000 setahun kepada pelajar sekolah dan penuntut institut pengajian tinggi yang terkesan dengan musibah banjir di seluruh negara.

Pengerusi YPM Datuk Mohd Razman Yaacob berkata, setakat ini YPM sudah menyalurkan sumbangan hampir RM100,000 membabitkan seramai 750 pelajar yang terbabit dengan musibah banjir di lapan negeri iaitu Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Johor.

Menurutnya, setiap tahun pihaknya akan mengemukakan peruntukan kepada pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan jumlah peruntukan akan ditambah mengikut keperluan.

"Dalam tempoh Januari hingga setakat ini, kita sudah menyalurkan peruntukan membabitkan sumbangan dalam bentuk wang tunai, peralatan alat tulis dan pakaian sekolah.

"Walaupun YPM memperuntukan RM300,000 setahun tetapi sekiranya berlaku bencana lebih besar membabitkan jumlah pelajar dan penuntut yang ramai, peruntukan itu ditambah mengikut keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program CSR Persisir Pantai Kuala Nerus (Seksyen Bantuan Persekolahan) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Rakit di sini, hari ini.

MOHD Razman menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pelajar pada majlis Program CSR di SMK Batu Rakit. FOTO Faizul Azlan Razak
MOHD Razman menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pelajar pada majlis Program CSR di SMK Batu Rakit. FOTO Faizul Azlan Razak

Mohd Razman berkata, YPM juga menyediakan satu skim iaitu Skim Bantuan Khas Persekolahan yang bukan saja tertumpu kepada musibah banjir tetapi disalurkan kepada pelajar yang terbabit dengan kecemasan seperti kebakaran dan tanah runtuh.

"Skim ini tidak terhad untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, malah ia disalurkan kepada mereka yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tetapi mengalami masalah kewangan.

"Sekiranya mereka mengalami masalah kewangan untuk pendaftaran, kita akan membantu mereka membayar yuran pengajian selain sumbangan dalam bentuk komputer riba bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian dengan sempurna," katanya.

Mengulas lanjut mengenai program CSR, Mohd Razman berkata, pihaknya mengenal pasti pelajar membabitkan empat buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di dua daerah iaitu Kuala Nerus dan Kuala Berang membabitkan peruntukan 176 orang dengan peruntukan RM30,750.

"Untuk negeri ini sahaja, YPM sudah menyalurkan peruntukan RM70,450 membabitkan 388 pelajar dalam tempoh bermula Januari hingga hari ini membabitkan sumbangan dalam pelbagai bentuk bantuan wang tunai 'one-off', cermin mata, basikal dan komputer.

''Terengganu juga adalah lokasi kelapan selepas memulakan program ini di Pulau Pangkor, Perak diikuti Pulau Tioman, Pahang; Tawau dan Semporna, Sabah; Pulau Aman, Pulau Pinang; Pulau Tuba, Pulau Langkawi; Kerian, Perak dan Melaka pada minggu lalu.

"Program CSR ini akan diteruskan ke Sabah yang mana kita sudah mengenal pasti beberapa kawasan di Semporna awal bulan depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 4:15 PM