ABD Latiff (kanan) selepas menyerahkan zakat kepada YPM.
ABD Latiff (kanan) selepas menyerahkan zakat kepada YPM.

Kuala Lumpur: Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad menyerahkan zakat peribadi kepada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) untuk digunakan bagi membantu golongan memerlukan.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin menerima cek bayaran zakat berkenaan.

Abd Latiff berkata, beliau menyeru agar semua penerima manfaat dan sumbangan daripada YPM agar bersama-sama menyalurkan bayaran zakat kepada YPM.

"YPM adalah ejen berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan zakat yang dibayar akan digunakan untuk membantu golongan asnaf, B40 dan mereka yang layak," katanya.

Bayaran zakat kepada YPM boleh dibuat sepanjang tahun. Selain daripada zakat, orang awam juga boleh memberikan sumbangan kepada YPM di mana penyumbang akan mendapat tolakan cukai pendapatan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Keistimewaan menyumbang dengan YPM adalah individu boleh menyalurkan sumbangan secara umum atau spesifik kepada skim atau program yang dikendalikan oleh YPM mengikut pilihan masing-masing.

Antara pilihan skim sumbangan yang disediakan adalah Tabung Kumpulan Wang YPM, Skim Keluarga Angkat dan Tabung Tanjak YPM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 7:02 AM