GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Keputusan analisa bekalan telur dihasilkan sebuah syarikat di Jeram, di sini, susulan dakwaan penemuan bakteria Somanella Enteritidis (SE) dijangka diperolehi dalam tempoh terdekat.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, ketika ini Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) masih menjalankan penelitian berhubung perkara itu.

"Penelitian dan pengesahan di peringkat JPV masih lagi belum diperolehi. Mereka memerlukan beberapa hari lagi untuk mengesahkan analisa itu," katanya selepas Majlis Pelancaran Drive Thru Coconut Shake 336 diAnjung 336, Jalan Barium, Bestari Jaya, di sini, tadi.

Terdahulu KPDNHEP membuat penilaian kesan terhadap bekalan telur di pasaran domestik dengan kerjasama JPV dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia susulan tindakan Singapura mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik telur dihasilkan syarikat berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam pada itu, Hasnol berkata, pihaknya mendapati telur itu datangnya daripada 'dedicated farm' iaitu ladang yang dikhususkan untuk mengeksport ke Singapura.

"Ladang-ladang lain yang membekalkan telur untuk pasaran domestik setakat ini tidak terbabit dengan kewujudan SE seperti ditemui pihak berkuasa Singapura," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) JPV bagi membuat ujian secara berkala kepada bekalan telur tempatan

"Apabila ada isu seperti ini berlaku, mereka akan maklumkan kepada masyarakat. Sekiranya ada keperluan untuk menarik semula telur itu, tindakan akan diambil.

"Berdasarkan maklumat dan kerjasama kementerian dengan agensi berkaitan, telur yang diambil hanyalah yang berkaitan dengan ladang yang mengeksport ke Singapura," katanya.

SE adalah sejenis bakteria yang boleh hadir dalam salur pencernaan ayam dan boleh mencemari telur ayam melalui pencemaran silang daripada najis ayam kepada telur atau semasa pembentukan telur ayam sekiranya jangkitan berlaku terhadap tisu-tisu pembiakan ternakan terbabit.

Pengendalian yang tidak sempurna dari segi kebersihan kulit telur ayam atau telur ayam yang tidak dimasak dengan betul, boleh menyebabkan keracunan makanan (Salmonellosis) dengan individu yang dijangkiti boleh mengalami demam, kekejangan perut, dan cirit-birit antara 12 hingga 72 jam selepasmemakan makanan yang tercemar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 3:49 PM