GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang Jaya: Kerajaan akan memperhalusi cadangan berhubung sistem subsidi kepada pengusaha ladang ayam bagi mengawal kenaikan harga ayam di seluruh negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diputuskan.

"Perbincangan dengan pelbagai kementerian bagi memperhalusi. Apa-apa dasar yang akan diputuskan, kita tidak boleh membuat dasar yang menyebelahi satu pihak sahaja.

"Perkara ini peru diperhalusi lagi bersama persatuan industri ayam dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi)," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan pasar raya Big Mart di Taman Puchong Perdana, hari ini.

Hasnol berkata, pihaknya juga sudah mengadakan percincangan dengan pihak industri bagi mendapatkan input berhubung harga bekalan.

"Semua pihak kini menghadapi cabaran masing-masing dengan kekangan situasi ketika pandemik ini.

"Antara yang dimaklumkan adalah masalah dari segi input iaitu pengangkutan seperti pergerakan kapal juga terhad pada ketika ini,"katanya.

Sebelum ini, KPDNHEP bercadang melaksanakan sistem subsidi kepada pengusaha ladang ayam terbesar bagi mengawal kenaikan harga ayam di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid dilaporkan berkata, subsidi harga itu akan diberikan kepada 20 pengusaha ladang ayam di tiga negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Perak, yang mengeluarkan 80 peratus bekalan ke seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 12:39 PM