Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Perdana Menteri,    Datuk  Ahmad Marzuk  Shaary menyampaikan, sumbangan komputer riba kepada   pelajar   asnaf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari  Pahang  di masjid Tenerloh Jaya hari ini.  FOTO ROSELAN AB MALEK
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyampaikan, sumbangan komputer riba kepada pelajar asnaf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Pahang di masjid Tenerloh Jaya hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Temerloh: Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan RM750,000 untuk membantu 218 penuntut kategori asnaf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Johor, Perak dan Pahang menerusi Program Iqra.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sumbangan itu adalah inisiatif TH yang mana UTM adalah antara 14 universiti yang menerima bantuan berkenaan.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 68 penuntut di Johor menerima RM691 seorang; manakala 69 penuntut di Perak menerima bantuan tunai sebanyak RM1,106 berserta sebuah komputer riba bernilai RM 2,500.

"Sementara, 81 penuntut di Pahang menerima wang tunai sebanyak RM 3,106 serta sebuah komputer riba juga bernilai RM2,500.

"Bantuan tunai ini sudah dikreditkan ke akaun masing-masing bermula Januari lalu," katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Komputer Riba kepada penuntut Asnaf UTM di Masjid Temerloh Jaya di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM, Dr Naemah Hamzah; Pengarah Tabung Haji Pahang, Mohd Zahir Hussin @Yusof dan Pengerusi Masjid Temerloh Jaya, Dr Abdullah Ismail.

Ahmad Marzuk berkata, melalui Program Iqra juga, TH turut membantu membayar yuran pengajian, pembiayaan asrama, dewan makan, kos sara diri dan perbelanjaan diri penuntut dari keluarga B40.

Sementara itu, Naemah berkata, pihak UTM menyambut baik sumbangan dana yang disifatkan sebagai zakat terbesar yang disumbangkan oleh TH kepada universiti.

"Zakat yang diterima sudah diagihkan kepada mahasiswa yang memenuhi syarat dan kelayakan seperti ditetapkan pihak TH.

"Di UTM, Pusat Islam yang diamanahkan untuk pengurusan dan pentadbiran zakat sudah membuka permohonan kepada mahasiswa dari tiga negeri berkenaan," katanya.

Menurutnya, permohonan dibuat menggunakan 'google form' bagi mengenalpasti calon penerima bantuan yang layak berdasarkan kriteria ditetapkan seperti golongan asnaf yang berpendapatan kasar keluarga RM4,000 dan ke bawah, serta sedang menuntut di peringkat diploma dan sarjana muda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 4:46 PM