Antara sebahagian 30 penerima komputer riba sumbangan Tabung Haji di UiTM Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Antara sebahagian 30 penerima komputer riba sumbangan Tabung Haji di UiTM Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: "Biasanya saya pinjam komputer riba kawan bagi mengikuti pengajian kelas dalam talian," kata penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Puteri Nurshahira Ahmad Shahridzal.

Puteri Nurshahira, 22, bersyukur apabila dipilih antara 30 penerima komputer riba sumbangan Tabung Haji di kampus berkenaan di Lendu, di sini.

Dia yang juga anak yatim piatu kini menetap bersama neneknya di Bukit Baru selepas ibu dan ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika dia berusia tiga tahun.

"Biasanya saya meminjam komputer riba rakan atau bapa saudara kerana komputer lama yang digunakan sering rosak dan tidak mampu membeli komputer baharu.

"Jika tugasan kami bertembung, saya terpaksa belajar menerusi telefon bimbit sahaja.

"Saya amat bersyukur dengan sumbangan ini kerana kesukaran pengajian yang lebih banyak secara alam talian. Saya bercita-cita menjadi pegawai bank seperti arwah ibu dan ayah, sekali gus membalas jasa nenek yang memikul tanggungjawab membesarkan saya," katanya yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Antarabangsa.

Sumbangan itu disampaikan Rektor UiTM Melaka, Profesor Dr Abd Halim Mohd Noor. Hadir sama Koordinator Unit Waqaf, Zakat dan Infaq (El-Wazif), UiTM Melaka, Muaz Mohd Noor.

Sementara itu, Abd Halim berkata, sumbangan oleh Zakat korporat Tabung Haji itu sebahagian daripada peruntukan sumbangan secara percuma kepada penuntut asnaf miskin UiTM di seluruh negara.

Menurutnya, inisiatif itu diharap menjadi pemangkin kepada pelajar berusaha lebih gigih khususnya dalam mempertingkatkan prestasi dan pencapaian akademik masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 6:21 PM