Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kasih sayang dan pesanan ayah, membuatkan Noraini Abd Sathar, 39, sanggup menjaga tiga adiknya yang berlainan ibu sejak Januari tahun lalu.

Dia yang berniaga goreng pisang bersama suaminya memikul tanggungjawab menjaga Nur Zuhanna, 10, Nur Zuhannis, 9, dan Nur Zuhannisa, 7, selepas ibu kandung mereka menghilangkan diri.

"Mereka adalah darah daging saya walaupun berlainan ibu namun kami mempunyai bapa yang sama. Arwah ayah pernah pesan mengenainya, jadi adik-adik menjadi tanggungjawab saya, ia amanah.

"Ayah meninggal dunia tujuh tahun lalu, sebaya dengan adik yang bongsu. Ibu kandung saya ada lagi manakala ibu kandung adik-adik sudah hilang gagal dikesan lebih setahun," katanya.

Noraini ditemui dalam program bantuan 'Back to School' Khas Untuk Murid Sekolah Rendah yang memerlukan, anjuran MedicAid di Masjid Saidina Uthman, Bandar Tun Razak, di sini.

Selain tiga adiknya, dua anak Noraini iaitu Shahrul Farish, 12, dan Nur Anis Ariani, 9, juga antara penerima bantuan persekolahan itu.

"Saya baru sahaja jaga mereka. Tahun lalu masa awal menjaga mereka sepenuh masa, berlakunya pandemik Covid-19.

"Sangat mencabar bagi saya terutamanya suami (Muhd Fadhil Abdul Rahman, 37) yang bekerja pemandu lori terpaksa berhenti kerja sebab pergerakan terbatas apabila mendapat penyakit gout.

Dr Syariz menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada penerima yang kurang bernasib baik pada Program Bantuan Back To School khas untuk pelajar sekolah rendah anjuran MedicAid di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Dr Syariz menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada penerima yang kurang bernasib baik pada Program Bantuan Back To School khas untuk pelajar sekolah rendah anjuran MedicAid di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD

"Suami sukar nak angkat barang-barang berat, jadi kami ambil keputusan berniaga sepenuh masa. Pendapatan tidak menentu, musim hujan pun kami berniaga untuk mencari rezeki," katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga amat berbesar hati terpilih penerima sumbangan bantuan persekolahan oleh MedicAid itu sebab ia meringankan beban dan ini kali pertama mendapat bantuan kelengkapan sekolah.

Katanya, dia juga bersyukur mula menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak bulan lalu dan Baitulmal mulai bulan ini.

Sementara itu Presiden MedicAid, Dr Syariz Izry Sehat berkata, program bantuan itu mendapat kerjasama Canggih, syarikat penyedia, pembekal, pemborong dan pengeluar kelengkapan pakaian seragam dan sekolah yang memberikan potongan 40 peratus daripada harga asal.

"Apa yang kami sampaikan ialah pakaian seragam sekolah lengkap kasut dan stokin dengan setiap satu set bernilai RM70 untuk pemohon di sekitar kawasan Cheras dan Kajang.

"Sebenarnya program ini sudah pun dilancarkan pada 24 Februari lalu dan mendapat sambutan sangat menggalakkan.

"Kami menerima lebih 300 permohonan selepas membuat tapisan, jumlah agihan diberikan adalah 285 pemohon termasuk 31 penerima hari ini. Nilai keseluruhan set kelengkapan sekolah kira-kira RM21,000," katanya.

Katanya, permohonan yang diterima bukan sahaja dari Kuala Lumpur tetapi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta membabitkan pelbagai kaum.

"Minggu depan kita akan membuka semula program bantuan 'Back to School' untuk sekolah menengah pula.

"Maklumat boleh didapati laman Facebook (FB) kami, Medic Aid," sambil menjelaskan mod agihan bantuan adalah bersemuka atau kurier mengikut kesesuaian termasuk keberadaan wakil MedicAid di lokasi penerima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 3:20 PM