NUR Amirka Wahida  bersama ahli keluarganya selepas menerima bantuan kelengkapan persekolahan, semalam.
NUR Amirka Wahida bersama ahli keluarganya selepas menerima bantuan kelengkapan persekolahan, semalam.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Dilahirkan tidak sempurna seperti rakan sebaya lain bukan alasan anak bongsu daripada enam beradik untuk merendah diri dan melupakan cita-citanya untuk bergelar doktor.

Nur Amirka Wahida Azhar, 11, yang mengalami kecacatan bermula paras pinggang hingga kaki sejak lahir terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Dia yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada sesi persekolahan tahun depan antara 200 murid berusia tujuh hingga 12 tahun dari lima sekolah di kawasan Kuala Nerus yang menerima bantuan kelengkapan persekolahan.

Majlis penyampaian bantuan persekolahan sempena program Back To School Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2018 itu disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Nur Amirka Wahida berkata, dia tidak sabar memulakan sesi persekolahan menggunakan bantuan persekolahan itu.

“Walaupun tidak normal seperti rakan yang lain, saya tidak pernah tersisih dan sebab itu saya bersemangat untuk ke sekolah.

“Tahun depan, saya akan menduduki UPSR dan saya mahu belajar bersungguh-sungguh agar cita-cita menjadi doktor tercapai kerana saya mahu membantu orang lain.

“Mengenai sumbangan hari ini, saya seronok sebab terpilih kerana ia dapat meringankan beban ayah,” katanya ketika ditemui di program Back To School TNB 2018 di Dataran Permata Seberang Takir, semalam.

Bagi Azhar Abu, 54, dia bersyukur kerana sekali lagi terpilih sebagai penerima bantuan yang sememangnya dinantikan bagi golongan kurang berkemampuan sepertinya.

“Selain tidak mempunyai pendapatan tetap, saya tidak boleh membuat kerja berat kerana pernah patah tulang belakang akibat kemalangan enam tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Terengganu Bahagian Pembahagian TNB Ahmad Rashidi Ab Hamid@Azis berkata, seramai 600 murid membabitkan 35 buah sekolah di Dungun, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus menerima bantuan berkenaan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 4:45 AM