Nur Amirka bersemangat untuk ke sekolah. FOTO Ghazali Kori
Nur Amirka bersemangat untuk ke sekolah. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


DILAHIRKAN tidak sempurna seperti rakan sebaya yang lain bukan alasan anak bongsu daripada enam beradik untuk terus meratapi kekurangan diri dan melupakan cita-citanya untuk menjadi doktor.

Nur Amirka Wahida Azhar, 11, yang mengalami kecacatan bermula paras pinggang hingga kaki sejak lahir terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Dia yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada sesi persekolahan tahun depan adalah antara 200 murid berusia tujuh hingga 12 tahun dari lima sekolah di kawasan Kuala Nerus yang menerima bantuan kelengkapan persekolahan.

Majlis penyampaian bantuan persekolahan sempena Program Back To School Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2018 itu disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Nur Amirka Wahida berkata, dia tidak sabar memulakan sesi persekolahan yang baharu menggunakan bantuan persekolahan diberikan.

"Walaupun tidak normal seperti rakan yang lain, saya tidak pernah tersisih dan sebab itu saya bersemangat untuk ke sekolah.

"Tahun depan, saya akan menduduki UPSR dan saya mahu belajar bersungguh-sungguh agar cita-cita menjadi doktor tercapai kerana saya mahu membantu orang lain.

"Mengenai sumbangan hari ini, saya seronok sebab terpilih kerana ia dapat meringankan beban ayah," ketika ditemui di Program Back To School TNB 2018 di Dataran Permata Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu hari ini.

Bagi Azhar Abu, 54, dia bersyukur kerana sekali lagi terpilih sebagai penerima bantuan yang sememangnya dinantikan bagi golongan kurang berkemampuan sepertinya.

"Selain tidak mempunyai pendapatan tetap, saya tidak boleh membuat kerja berat kerana pernah patah tulang belakang akibat kemalangan kira-kira enam tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Terengganu Bahagian Pembahagian TNB Ahmad Rashidi Ab Hamid@Azis berkata, seramai 600 murid membabitkan 35 buah sekolah di Dungun, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus menerima bantuan berkenaan pada tahun ini.

Katanya, setiap murid menerima set kelengkapan sekolah mengandungi pakaian, beg sekolah dan alat tulis bernilai RM200 dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM120,000.

"Di Kuala Nerus sahaja, RM40,000 diperuntukkan bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam menyediakan persiapan persekolahan.

"Ini adalah insiatif tanggungjawab korporat TNB dalam bidang pendidikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 3:06 PM