ANAK-anak dan urus setia bergambar kenangan selepas selesai membeli kelengkapan sekolah.
ANAK-anak dan urus setia bergambar kenangan selepas selesai membeli kelengkapan sekolah.
Oleh Suliati Asri


TIDAK hanya pandemik Covid-19, banjir yang melanda di beberapa negeri nyata memberi impak besar kepada ekonomi dan buat kebanyakan masyarakat termasuk golongan yang kurang berkemampuan.

Justeru, bagi memberikan sedikit kegembiraan kepada anak-anak yang kurang berkemampuan terutama dalam golongan B40, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Program Back To School.

Program Back To School itu anjuran Persatuan Wanita UMP (Matahari) dengan kerjasama UMP Advanced Education, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) dan Pusat Penyelidikan Biosains Tropika Termaju (Pusat Biotropik) UMP.

Menerusi program itu, seramai 52 penerima manfaat dan usaha ini akan diteruskan bagi membantu keluarga yang memerlukan.

Bukan itu saja, anak-anak juga diberi kebebasan merasai pengalaman memilih pakaian sekolah, kasut dan barangan kelengkapan sekolah dengan nilai RM150 setiap penerima.

Malah program itu juga diadakan dalam dua sesi sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced Profesor Madya Dr Mohd Rusllim berkata, program ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat setempat.

"Kami juga berhasrat untuk berkongsi rezeki seperti ini dengan menjadikan program ini sebagai program tahunan.

" Semoga dengan sumbangan ini, secara tidak langsung dapat menyuntik semangat anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan dalam norma baharu dan dapat belajar bersungguh-sungguh sehingga meraih kejayaan suatu hari nanti, Insya-Allah," katanya.

SEORANG ibu membantu anak mencuba kasut sekolah.
SEORANG ibu membantu anak mencuba kasut sekolah.

Selain itu, Pemangku Presiden Matahari, Datin Sri Fazia Ali berkata, pihaknya sangat berterima kasih kepada semua penyumbang bagi menjayakan program itu.

"Menerusi kerjasama ini, seramai 52 anak-anak menerima manfaat dan usaha ini akan diteruskan bagi membantu keluarga yang memerlukan.

"Tambahan pula ramai antara mereka yang terjejas dengan keadaan ekonomi selepas pandemik Covid-19 melanda negara,

" katanya.

Sementara itu, Nur Shahidah Adizan, 39, terharu apabila anak-anaknya berpeluang mendapatkan kelengkapan pakaian sekolah baharu menerusi program yang dijalankan UMP itu.

Menurut Nur Shahidah yang menetap di Kampung Tengah Kuantan, desakan hidup dan kesempitan wang menyebabkan dia dan suaminya, Amizan Awang, 43, perlu berjimat cermat untuk menyediakan keperluan bagi enam anaknya untuk memulakan sesi persekolahan baharu.

"Setiap tahun kami akan memastikan pakaian anak sentiasa terjaga dan dalam keadan baik supaya baju yang digunakan kakak atau abang boleh dipakai semula anak-anak lain.

PROGRAM Back To School memberi peluang anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan memilih sendiri barangan keperluan sekolah baharu.
PROGRAM Back To School memberi peluang anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan memilih sendiri barangan keperluan sekolah baharu.

"Jadi, mereka jarang berpeluang memakai baju sekolah baharu setiap kali memulakan sesi persekolahan akibat kekangan wang untuk berbelanja.

"Membuat pembelian persiapan sekolah serentak sangat sukar kerana pendapatan suami yang tidak seberapa," katanya.

Namun dengan bantuan dari UMP menerusi Program Back To School ini, membolehkan Nur Shahidah dan suami memberikan sedikit kegembiraan kepada anak-anak, sekali gus merasai keseronokan membeli peralatan sekolah.

"Suami yang hanya bekerja sebagai buruh dan saya pula adalah suri rumah sepenuh masa. Jadi, kami perlu berjimat dan mendahulukan keperluan lain yang lebih penting.

"Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada UMP yang prihatin dengan masyarakat setempat yang kurang berkemampuan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:35 AM