DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan sidang media harian perkembangan COVID-19 Sarawak hari ini. FOTO ihsan JABATAN PENERANGAN
DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan sidang media harian perkembangan COVID-19 Sarawak hari ini. FOTO ihsan JABATAN PENERANGAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak dilanjutkan selama 14 hari lagi berkuatkuasa 16 Mac ini hingga 29 Mac.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan itu diambil selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menilai situasi kes positif di Sarawak yang masih tinggi.

"Lanjutan PKPB itu bermula jam 12.01 tengah malam 16 Mac hingga jam 11.59 malam 29 Mac," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak, hari ini.

Ia adalah lanjutan PKPB yang keempat di seluruh Sarawak selepas kali pertama dikuatkuasakan pada 18 Januari hingga 31 Januari lalu.

Sementara itu, Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Skim Penempatan Semula Sentosa Fasa 2, Sibu ditamatkan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas ujian saringan kedua mendapati tiada kes positif Covid-19 baharu dikesan di kawasan berkenaan.

"Selain itu, tiada bukti yang menunjukkan jangkitan masih menular di kawasan itu," katanya.

Katanya, Sarawak mencatatkan 173 kes baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan itu sejak Mac tahun lalu kini meningkat sebanyak 12,051 kes.

Daripada jumlah itu, Sibu mencatat jangkitan baharu tertinggi dengan 71 kes, diikuti Miri (19), Bintulu (16), Kuching (15), Meradong (10), Serian (9), Julau (7), Kapit (5), Tanjung Manis (5), Betong (3), Belaga (2), Mukah (2), Sri Aman (2), Subis (2), Telang Usan (2), Dalat (1), Samarahan (1) dan Sarikei (1).

"Daripada 173 kes baharu yang dilaporkan hari ini, hanya seramai 19 orang atau 10.98 peratus yang menunjukkan tanda-tanda dan mengalami tanda-tanda jangkitan Covid-19 ketika saringan dijalankan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 6:39 PM