GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sarawak kini melepasi angka 100,000 dengan 1,543 jangkitan baharu dilaporkan hari ini.

Sejak kes pertama dikesan di negeri ini pada 13 Mac tahun lalu, jumlah terkumpul jangkitan wabak itu kini sebanyak 101,381 kes.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, daerah Kuching terus mencatatkan jumlah tertinggi hari ini dengan 812 kes.

Daerah Subis pula mencatatkan sebanyak 142 kes, Bau (74), Samarahan (68), Mukah (54), Serian (53), Belaga (49), Sibu (47), Pusa (45), Bintulu (44), Selangau (37), Miri (15), Asajaya (15) dan Saratok (11).

Sebanyak 16 daerah lagi mencatat bawah 10 kes iaitu Song (8), Betong (8), Simunjan (7), Beluru (7), Tebedu (7), Kapit (6), Sri Aman (5), Sarikei (5), Dalat (4), Tatau (3), Matu (3), Lubok Antu (2), Lawas (2), Limbang (2), Kanowit (1) dan Pakan (1).

Sembilan daerah iaitu Daro, Meradong, Sebauh, Kabong, Bukit Mabong, Julau, Telang Usan, Tanjung Manis dan Marudi pula sifar kes jangkitan baharu.

Sementara itu katanya, kes baharu mengikut kategori klinikal hari ini menunjukkan sebanyak 1,322 atau 85.68 peratus adalah dalam kategori satu iaitu tidak bergejala.

"Sebanyak 219 atau 14.19 peratus lagi dalam kategori dua iaitu bergejala ringan, dua kes atau 0.13 peratus pula kategori lima iaitu jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada kes bagi kategori tiga iaitu jangkitan paru-paru dan kategori empat iaitu jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen dilaporkan hari ini," katanya.

Sementara itu, dua kematian dilaporkan di Sarawak hari ini iaitu membabitkan dua warga emas iaitu wanita berusia 80 tahun di Hospital Bintulu dan lelaki berusia 75 tahun di Hospital Umum Sarawak di Kuching.

" Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat pandemik Covid-19 di Sarawak kini seramai 503 orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 6:25 PM