GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta sekolah berasrama tidak dibenarkan pulang ke rumah dalam tempoh 14 hari penutupan institusi pendidikan di zon merah di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu diambil demi keselamatan diri, keluarga serta masyarakat.

"Bagi pelajar dari seperti Sibu dan Bintulu misalnya, tentu agak merbahaya jika mereka balik kerana kawasan itu kini berada dalam zon merah Covid-19.

"Sebab itu, mereka dikehendaki untuk terus kekal di asrama masing-masing," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sarawak hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, pelajar IPT hanya dibenarkan berlegar dalam kawasan kampus, tetapi harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita akan meletakkan anggota RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) untuk mengawasi mereka," katanya.

Sarawak terus mencatat jumlah tertinggi jangkitan baru COVID-19 negara hari ini dengan 600 kes.

Daripada jumlah itu, Bintulu mencatat sebanyak 110 kes, diikuti Sibu (98), Kuching (83), Meradong (54), Kapit (41), Tatau (38), Mukah (31), Sarikei (25), Miri (24), Song (20), Kanowit (13), Serian (10), Betong (10), Beluru (7), Selangau (6), Subis (6), Kabong (6), Marudi (5), Samarahan (5), Saratok (4), Pakan (3) dan Julau (1).

Ia menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di Sarawak sejak Mac tahun lalu kini meningkat kepada 25,129 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 6:17 PM