MOHD Ali  menerima watikah pelantikan daripada Noraini. FOTO Amir Mamat
MOHD Ali menerima watikah pelantikan daripada Noraini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Ayer Keroh: Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ketiga, semalam.

Pelantikan Mohd Ali, 72, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berkuatkuasa 15 Ogos tahun lalu hingga 3 Jun 2024.

Beliau menggantikan Tun Dr Mohd Khalil Yaakob yang tamat perkhidmatannya tahun lalu.

Watikah pelantikan disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang mewakili Al-Sultan Abdullah pada upacara pemasyhuran di sini.

Turut hadir, isteri Mohd Ali, Toh Puan Asmah Abdul Rahman; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Pro Canselor UTeM, Tan Sri Halim Saad dan Datuk Dr Sabirin Ja'afar; Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali serta Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim.

Dalam ucapan sulungnya, Mohd Ali berkata, UTeM perlu berada dalam arus perdana pendidikan tinggi negara sebagai daya penggerak utama membentuk hala tuju masyarakat Malaysia ke arah transformasi ekonomi dan sosial, khususnya dalam era ledakan Industri 4.0 dan ekonomi digital.

"Pelaksanaan peta strategi pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dijangka mampu menghasilkan graduan yang seimbang, holistik dan berciri keusahawanan untuk membangunkan negeri dan negara," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, dalam konteks pembangunan negara, UTeM dibabitkan oleh pembuat dasar di semua peringkat hala tuju strategik negara, terutama bidang kejuruteraan, teknologi serta TVET.

"UTeM turut mendukung aspirasi dan agenda kerajaan negeri selaku entiti penyelidikan untuk melestarikan Melaka sebagai negeri maju apabila keberadaan UTeM di Melaka dihasratkan berlakunya proses perkongsian serta pemindahan ilmu dan kepakaran kepada masyarakat umum dalam membangunkan negeri tercinta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 12:23 PM