MOHD Ali (dua kanan) ketika simbolik Pelancaran Penggunaan Nombor Plat Eksklusif UTeM di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal. FOTO Nazri Abu Bakar
MOHD Ali (dua kanan) ketika simbolik Pelancaran Penggunaan Nombor Plat Eksklusif UTeM di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

Melaka: Sebanyak 100 unit plat kenderaan eksklusif Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dijual dengan hasil kutipan RM195,160, setakat hari ini.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr Ahmad Tajudin Ali berkata, jumlah itu membabitkan nombor plat eksklusif dalam kategori silver dan bronze yang berjaya dijual.

Beliau berkata, sesi bidaan kategori platinum, diamond dan gold bermula esok sehingga 7 Januari melalui sistem ebida UTeM iaitu ebida.utem.edu.my dengan tawaran bidaan terbuka kepada semua pihak termasuk industri, agensi kerajaan, alumni UTeM, staf dan pelajar serta masyarakat umum berminat.

"Penjualan nombor plat eksklusif UTEM adalah inisiatif penjanaan pendapatan kepada universiti itu selain langkah membantu perkembangan pengurusan dan pembangunan pusat pengajian terbabit.

"Inisiatif penjanaan amat bertepatan dengan keadaan semasa UTeM yang menerima pengurangan bajet mengurus semasa sebanyak 56 peratus pada suku ketiga 2020 dan sembilan peratus bagi suku keempat 2020,"katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Penggunaan Nombor Plat Eksklusif UTeM di Kampus Induk UTeM, hari ini.

Majlis disempurnakan perasmiannya oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim.

Beliau berkata, penjualan nombor plat berkenaan membantu menyokong kelestarian bajet mengurus universiti supaya pengurusan berjalan lancar dan pada masa sama, antara usaha mempromosi dan meningkatkan 'visibilty' UTEM kepada masyarakat luar.

Menurutnya, orang ramai diharap dapat melaksanakan bidaan harga sebaik-baiknya supaya nombor plat eksklusif UTeM diidamkan dapat dimiliki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 7:44 PM