MOHD Ali menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik Ekspo Buku Malaysia 2024 di UTeM, sambil diperhatikan Massila (kiri). FOTO Amir Mamat
MOHD Ali menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik Ekspo Buku Malaysia 2024 di UTeM, sambil diperhatikan Massila (kiri). FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Durian Tunggal: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tidak terburu-buru untuk membuat keputusan menerima etnik Rohingya yang berminat mengikuti kursus di universiti berkenaan.

Sebaliknya, Naib Canselor UTeM, Prof Dr Massila Kamalrudin, berkata pihaknya mengutamakan soal keselamatan serta keselesaan penuntut sedia ada, selain kegusaran ibu bapa mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata, setiap penuntut yang memohon perlulah mempunyai kelayakan selain mematuhi semua syarat dan undang-undang yang ditetapkan pihak universiti.

"UTeM juga akan mengambil kira pandangan ibu bapa penuntut sedia ada di universiti berkenaan, sama ada sesuai atau tidak untuk menerima kemasukan penuntut daripada etnik terbabit.

"Apa yang penting, kami tetap memberikan perhatian terhadap kelayakan serta kapasiti universiti sebelum membuat sebarang keputusan.

"Kalau boleh tidak ada isu sensitif berlaku, namun saya menyerahkannya kepada timbalan canselor kami untuk melihat kepada kelayakan, kalau layak kita terima.

"Kita tidak mahu hukum berdasarkan etnik, sebaliknya kita akan memberikan tumpuan lebih kepada soal keselamatan," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis Pelancaran Ekspo Buku Malaysia 2024 di Kampus Induk UTeM di sini, disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka yang juga Canselor UTeM, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam satu kenyataan, hari ini dilaporkan berkata, kementerian itu tiada halangan untuk pelarian Rohingya diberi peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan kerana ia tidak akan mengancam kedaulatan negara.

Katanya, isu terbabit tidak timbul kerana Malaysia sebagai sebuah negara bertamadun, tidak boleh lari daripada sifat manusiawi dan ihsan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 9:28 PM