KELUARGA kanak-kanak berusia dua tahun, Sophia Fatehah Farhan Danial yang ditemukan lemas dalam besen di rumah pengasuhnya. FOTO Zuhainy Zulkiffli
KELUARGA kanak-kanak berusia dua tahun, Sophia Fatehah Farhan Danial yang ditemukan lemas dalam besen di rumah pengasuhnya. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Memang sedih, kehilangan ini amat mengejutkan namun kami reda."

Demikian luah Farhan Danial Wan Azmi, 26, bapa kepada kanak-kanak berusia dua tahun, Sophia Fatehah, yang meninggal dunia akibat lemas dalam besen di rumah pengasuhnya di Permatang Damar Laut, Batu Maung semalam.

Farhan Danial berkata, ketika kejadian, dia berada di hospital bagi mendapatkan laporan perubatannya sebelum dihubungi pengasuh terbabit pada jam 1 tengah hari bagi memaklumkan kejadian.

Katanya, pengasuh mendakwa, selesai memandikan Sophia Fatehah, dia meninggalkan seketika kanak-kanak itu di bilik air bagi mengambil tuala.

"Sebaik kembali ke bilik air, pengasuh mendapati anak saya dalam keadaan tersungkur dalam besen dan sudah tidak sedarkan diri.

"Pengasuh terbabit memberitahu sudah memberi rawatan awal kepada Sophia Fatehah dan menghubungi ambulans," katanya ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini.

Menurut Farhan Danial, anak bongsu daripada dua beradik itu baru saja pulang ke rumah selepas seminggu berada di hospital bagi mendapatkan rawatan penyakit yang dihidapi.

"Kami tidak menyalahkan pengasuh kerana sudah kenal lama dengannya dan dia menjaga Sophia Fatehah dengan baik sejak berusia dua bulan.

"Malah anak sulung kami yang berusia enam tahun juga turut dijaganya sejak berusia enam bulan," katanya.

Sumber pula berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada doktor di wad kecemasan HPP.

Katanya, laporan mendapati pengasuh meninggalkan mangsa di dalam besen berisi air bagi mengambil tuala sebelum menemui kanak-kanak itu dalam keadaan terlangkup.

"Mangsa dirawat di Wad Pediatrik HPP sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 2 pagi tadi.

"Pengasuh sudah ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan AA Anbalagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Berita berkaitan

  • Budak 2 tahun lemas dalam besen di rumah pengasuh
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 3:04 PM