FOTO Sophia Fatehah Wan Farhan Danial, dua tahun, yang ditemukan lemas dalam besen di rumah pengasuhnya dalam kejadian di Batu Maung, di sini.  FOTO Zuhainy Zulkiffli
FOTO Sophia Fatehah Wan Farhan Danial, dua tahun, yang ditemukan lemas dalam besen di rumah pengasuhnya dalam kejadian di Batu Maung, di sini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Polis sudah menahan pengasuh wanita bagi membantu siasatan susulan kejadian Sophia Fatehah Farhan, dua tahun, lemas di dalam besen di sini, semalam.

Wanita berusia 43 tahun dari Permatang Damar Laut itu ditahan jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan AA Anbalagan berkata, pada kejadian semalam, pengasuh berkenaan mengisi air di dalam besen sehingga hampir penuh bagi memandikan mangsa, jam 11 pagi.

"Wanita itu kemudian keluar seketika daripada bilik air bagi mengambil tuala dan ketika kembali, dia mendapati kepala mangsa dan separuh badannya sudah tenggelam dalam besen itu.

"Pengasuh terbabit mengalihkan mangsa yang masih dalam keadaan sedar dan selepas dipakaikan baju, kanak-kanak terbabit tidur.

"Namun kira-kira 30 minit kemudian, mangsa dilihat dalam keadaan lemah dan tidak bermaya sebelum pengasuh memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan menghubungi ambulans," katanya dihubungi.

Menurut Anbalagan, kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan berada dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia jam 2 pagi tadi.

Katanya, menurut ibu mangsa yang berusia 25 tahun, mangsa adalah anak bongsu daripada dua beradik dan sudah dijaga pengasuh berkenaan sejak berusia dua bulan.

Menurut beliau, ibu dan bapa mangsa masing-masing bekerja sebagai operator kilang dan juruteknik kilang di Bayan Lepas di sini.

"Siasatan dijalankan bagi mengenalpasti sekiranya terdapat unsur jenayah dan perintah reman akan dipohon bagi melengkapkan siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Berita berkaitan

  • 'Kami tak menyalahkan pengasuh'
  • Budak 2 tahun lemas dalam besen di rumah pengasuh


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 4:18 PM