AZAM Mustafa (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Aminuddin Harun (dua dari kiri) di Bilik Gerakan Wisma Negeri. FOTO Mohd Amin Jalil
AZAM Mustafa (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Aminuddin Harun (dua dari kiri) di Bilik Gerakan Wisma Negeri. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

Seremban: Petugas barisan hadapan di Negeri Sembilan bakal menerima suntikan vaksin fasa pertama Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan peringkat negeri di 37 Klinik Kesihatan di seluruh negeri, mulai esok.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, antara mereka itu membabitkan Kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS), Pegawai Daerah, anggota pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Petugas barisan hadapan ini adalah kumpulan pertama yang akan menerima suntikan vaksin bagi program fasa pertama bermula esok sehingga akhir Mei depan.

"Bagaimanapun, saya belum mendapat maklumat mengenai jumlah vaksin yang diterima hari ini dan juga menerima jumlah kakitangan yang akan menerima suntikan itu kerana ia akan diselaraskan oleh kakitangan JKNNS.

"Dianggarkan mungkin hampir 10,000 vaksin Covid-19, yang diterima hari ini," katanya kepada selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bilik Gerakan Wisma Negeri di sini, hari ini.

Negeri Sembilan menerima vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk fasa pertama program imunisasi berkenaan pagi tadi, dengan dua lokasi tempat simpanan iaitu Klinik Kesihatan Seremban 2 dan Hospital Tampin.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, suntikan fasa pertama dijangka berakhir hujung Mei depan disusuli fasa kedua dan ketiga berikutnya yang akan diadakan di dewan khas yang diwujudkan di setiap daerah.

"Program imunisasi fasa berikutnya tidak akan membabitkan Klinik Kesihatan sebaliknya di dalam dewan mempunyai kelengkapan bagi memudahkan pelaksanaan dan keselesaan orang ramai," katanya.

Dalam pada itu Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga akan menubuhkan bilik gerakan di peringkat negeri dan daerah yang akan memulakan operasi dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Dr Razali Ab Malek akan mengetuai operasi bilik gerakan berkenaan dan akan bermesyuarat dengan pegawai atau pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

"Bilik gerakan ini bertujuan menyelaraskan program suntikan vaksin bagi memastikan ia mempunyai keseragaman dari segi pelaksanaannya," katanya.

Turut diadakan majlis penyerahan kunci kepada lapan peserta Projek Perumahan Rakyat (PPR) Senawang dan penyampaian cek oleh Telekom Malaysia Berhad (TM).

TM menyumbang RM75,000 bagi pembelian alat peranti dan komputer untuk pelajar Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lepasan tahfiz di negeri ini.

Sumbangan kewangan itu akan dapat dimanfaatkan seramai 50 pelajar yang menjadi perintis kepada program terbabit.

Pengurus Besar TM Negeri Sembilan, Azam Mustafa menyampaikan sumbangan itu kepada Menteri Besar.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 4:20 PM